Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji pekerja pendapatan rendah naik lebih cepat dari pekerja gaji pertengahan

Mar 7, 2025 | 3:39 PM
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad. - Foto MDDI

Gaji pekerja berpendapatan rendah telah meningkat pada kadar lebih pantas berbanding tenaga kerja secara keseluruhan, menandakan langkah-langkah yang diambil telah membantu mempertingkat golongan pekerja itu.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata dengan langkah-langkah gaji progresif, golongan pekerja berpendapatan rendah telah menyaksikan pertumbuhan gaji yang kukuh secara konsisten.

Dari 2019 hingga 2024, gaji sebenar bagi pekerja di persentil ke-20 terbawah meningkat secara kumulatif sebanyak 5.9 peratus – lebih tinggi berbanding pekerja median pada 3.6 peratus.

Sehingga sembilan dalam 10 pekerja berpendapatan rendah sepenuh masa hari ini turut meraih manfaat daripada langkah seperti Model Gaji Progresif (PWM), Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) dan skim akreditasi Tanda Gaji Progresif.

“Ini bermakna bahawa meskipun kos sara hidup meningkat, gaji pekerja berpendapatan rendah meningkat lebih tinggi.

“Jurang gaji antara pekerja berpendapatan rendah dengan pekerja median juga semakin rapat, meskipun sedang gaji median terus meningkat.

“Bahkan, sebahagian besar pertumbuhan ini berlaku sepanjang tiga tahun lalu, dengan rakan tiga pihak bersetuju memperluaskan PWM untuk meliputi tiga sektor tambahan dan dua pekerjaan tambahan,” kata Encik Zaqy, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) di Parlimen pada 7 Mac.

Pemerintah akan terus bekerjasama dengan rakan tiga pihak untuk memperkukuh gaji dan hasil pekerjaan golongan pekerja berpendapatan rendah, tambah beliau.

Antaranya, pemerintah, majikan dan kesatuan kini sedang mengkaji langkah memperluaskan PWM kepada sektor pengurusan serangga perosak, dengan butiran lanjut akan dikongsi kelak.

Encik Zaqy turut menekankan keperluan bagi perniagaan mengubah pekerjaan bergaji rendah untuk nilai tambah yang lebih tinggi dan meningkatkan kecekapan operasi mereka.

“Pada masa yang sama, dengan penciptaan pekerjaan yang lebih baik, akan ada permintaan untuk kemahiran dan kecekapan baru.

“Pekerja perlu meningkatkan kemahiran untuk merebut peluang ini dan kami akan meningkatkan usaha untuk membantu mereka berbuat demikian,” kata beliau.

Selain langkah gaji progresif, pemerintah juga memberikan sokongan tambahan melalui Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (WSS).

Skim WIS membantu menambah pendapatan dan simpanan persaraan pekerja berpendapatan rendah, dengan pekerja yang layak boleh menerima sehingga $4,900 setahun.

Sementara itu, Skim WSS akan diperingkat mulai awal 2026 dengan mengambil rujukan daripada model Program Peningkatan SkillsFuture dan akan memberi manfaat kepada pekerja berpendapatan rendah berusia 30 tahun dan ke atas dengan gaji sehingga $3,000 sebulan.

Di bawah skim dipertingkat itu, pekerja berpendapatan rendah akan terima elaun bulanan minimum $300, atau sehingga 50 peratus daripada purata pendapatan mereka dalam tempoh 12 bulan terkini jika mereka mendaftar bagi kursus sepenuh masa terpilih.

Mereka yang menjalani latihan sambilan akan menerima elaun bulanan tetap $300.

Meskipun kemajuan baik telah dibuat sejauh ini, Encik Zaqy menekankan perlunya meneruskan usaha mempertingkat pekerja berpendapatan rendah dan mengurangkan ketidaksamaan serta memastikan peluang untuk semua.

“Kita semua mesti bekerjasama untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, yang berpotensi menimbulkan keretakan dalam masyarakat kita jika dibiarkan. Tugasnya berterusan di hadapan kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg