Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: SkillsFuture mampu diperkukuh, beri manfaat penuh

Tiga penambahbaikan liputi kemudahan latihan, kursus diselaras ikut keperluan, dan budaya pembelajaran
May 23, 2025 | 8:33 PM
SkillsFuture, Lawrence Wong,
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), berkata sepanjang dekad lalu, sekitar satu perlima tenaga kerja menyertai latihan yang disokong oleh SkillsFuture setiap tahun. Beliau dilihat beramah-tamah dengan hadirin pada majlis ulang tahun SkillsFuture yang ke-10 di Hotel Four Seasons pada 23 Mei. - Foto ST

Dengan ekonomi yang semakin maju dan rakyat Singapura lebih berpendidikan, SkillsFuture Singapura (SSG) perlu meningkatkan usaha dalam merangka kursus yang memberikan manfaat maksimum kepada rakyat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Kursusnya perlu dirangka selaras dengan keperluan perusahaan, dan perniagaan diberikan insentif untuk melabur dalam latihan.

Encik Wong berkata demikian semasa majlis ulang tahun SkillsFuture yang ke-10 di Hotel Four Seasons pada 23 Mei.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan yang akan menggalas jawatan sebagai Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Negara (Pendidikan dan Tenaga Manusia) yang akan dilantik menjadi Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang; serta Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), berkata SkillsFuture Singapura (SSG) perlu meningkatkan usaha dalam merangka kursus yang memberikan manfaat maksimum kepada rakyat Singapura. Beliau ditemani pemimpin Singapura yang menghadiri majlis ulang tahun SkillsFuture yang ke-10 di Hotel Four Seasons pada 23 Mei (dari kiri) Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; dan Menteri Negara (Pendidikan dan Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), berkata SkillsFuture Singapura (SSG) perlu meningkatkan usaha dalam merangka kursus yang memberikan manfaat maksimum kepada rakyat Singapura. Beliau ditemani pemimpin Singapura yang menghadiri majlis ulang tahun SkillsFuture yang ke-10 di Hotel Four Seasons pada 23 Mei (dari kiri) Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; dan Menteri Negara (Pendidikan dan Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang. - Foto ST

Sempena ulang tahun sedekad mereka, SkillsFuture turut berkongsi pencapaian salah satu inisiatif digital terbaru mereka, Careers and Skills Passport – alat perancangan kerjaya dan kemahiran dalam talian – yang telah digunakan oleh 315,000 rakyat Singapura setakat 30 April.

Dilancarkan pada November 2024, ia menghimpunkan maklumat kerjaya dan kemahiran seseorang daripada sumber pemerintah yang tepat, lalu disimpan dalam satu wadah pusat yang selamat.

Ketika ucaptamanya, Encik Wong berkata sepanjang dekad lalu, sekitar satu perlima tenaga kerja menyertai latihan yang disokong oleh SkillsFuture setiap tahun.

Menurut kenyataan bersama SkillsFuture dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) pada 23 Mei, jumlah tersebut bersamaan 500,000 tenaga kerja.

Ramai daripada mereka berjaya mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi.

Penyertaan majikan juga telah meningkat seganda kepada 24,000 syarikat pada 2024, berbanding 12,000 syarikat ketika SkillsFuture mula dibentuk pada 2015.

“Lebih banyak perniagaan menghantar pekerja mereka untuk mengikuti latihan yang disokong oleh SkillsFuture.

“Dan beberapa syarikat terkemuka kini menjadi syarikat ‘Queen Bee’ (pemimpin) SkillsFuture yang bukan sahaja menghantar pekerja mereka untuk menjalani latihan, malah, mereka sendiri turut menyediakan khidmat nasihat latihan atau melaksanakan latihan tersebut,” katanya.

Namun, Encik Wong berkata lebih banyak yang boleh dilakukan pada fasa seterusnya untuk SkillsFuture, dengan menggariskan tiga perkara.

Antaranya, gerakan itu mesti memudahkan pekerja mendapatkan latihan, merangka kursus yang selaras dengan keperluan perusahaan, dan memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Sepanjang dekad lalu, sekitar satu perlima tenaga kerja menyertai latihan yang disokong oleh SkillsFuture setiap tahun. Hal itu dikongsi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di ucaptamanya semasa majlis ulang tahun SkillsFuture yang ke-10 di Hotel Four Seasons pada 23 Mei.
Sepanjang dekad lalu, sekitar satu perlima tenaga kerja menyertai latihan yang disokong oleh SkillsFuture setiap tahun. Hal itu dikongsi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di ucaptamanya semasa majlis ulang tahun SkillsFuture yang ke-10 di Hotel Four Seasons pada 23 Mei. - Foto ST

Mengulas mengenai komponen pertama, Encik Wong berkata rakyat Singapura kini mempunyai keperluan dan aspirasi yang lebih pelbagai, serta lebih banyak pilihan latihan untuk dipertimbangkan.

“Pilihan yang banyak memang baik, tetapi kadangkala terlalu banyak pilihan boleh membuatkan kita rasa terbeban.

“Justeru, sebagai pemerintah, yang bekerjasama dengan rakan-rakan kami, perlu memperbaiki menyusun kursus yang ditawarkan serta membantu rakyat Singapura mengenal pasti kursus yang memberikan manfaat maksimum dan paling sesuai untuk mereka,” katanya.

Beliau memberikan contoh memahami cara penggunaan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja, yang kini sama pentingnya dengan kemahiran membaca dan menulis pada masa lalu.

Di samping itu, inisiatif ‘Career Health’ – yang antaranya merangkumi kursus latihan satu atau dua hari – akan dilancarkan pada suku ketiga 2025 anjuran WSG.

Ia akan memberikan rakyat Singapura alat dan perkhidmatan untuk membantu merancang latihan yang diperlukan bagi mencapai hasil kerjaya yang lebih baik dalam pelbagai perusahaan.

“Untuk memperoleh suntikan kemahiran yang ketara, kita semua perlu meluangkan masa dan berusaha dengan bersungguh-sungguh,” kata Encik Wong, sambil mengakui ia mungkin tidak mudah bagi pekerja pertengahan kerjaya yang mempunyai keluarga.

Maka, SkillsFuture akan menyokong mereka dengan penambahan kredit sebanyak $4,000 yang telah diumumkan sebelum ini serta elaun bulanan sehingga $3,000 bagi mereka yang mengikuti kursus sepenuh masa dan sambilan, katanya.

Encik Wong turut memahami kebimbangan majikan mengenai pekerja yang meninggalkan syarikat setelah melaburkan sejumlah besar wang untuk mengikuti latihan.

Ini menyebabkan majikan kurang melabur dalam pekerja mereka serta ragu-ragu untuk mengambil Skim Kredit Perusahaan SkillsFuture – dana untuk majikan yang menghantar pekerja mereka mengikuti latihan – kerana mereka perlu membayar dahulu dan mendapatkan bayaran balik kemudian, katanya.

Lantas, Encik Wong berkata SkillsFuture perlu “mengikut keperluan industri”, agar syarikat lebih cenderung untuk melabur dalam latihan.

Beliau menambah bahawa kesedaran mengenai skim itu juga rendah, lantas ia akan direka semula dalam bentuk dompet dalam talian.

Setiap syarikat akan mendapat kredit dalam talian sebanyak $10,000 untuk menampung sebarang kos latihan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025. Ia akan siap pada separuh kedua 2026.

Selain itu, Encik Wong berkata budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran perlu diperkukuh, dan ini memerlukan “perubahan pola pemikiran yang besar”.

“Pembelajaran bukan sekadar menghafal untuk peperiksaan atau mendapatkan kelayakan akademik.

“Pembelajaran sebenarnya adalah mengenai peningkatan berterusan sepanjang hayat, sama ada dengan mempelajari perkara baru, memperdalam kepakaran sedia ada, atau berusaha untuk memaksimumkan potensi anda dalam segala yang anda lakukan, sepanjang hidup anda,” ujarnya.

Menurut Encik Wong, setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan, termasuk individu, majikan dan persatuan perdagangan, gerakan dan kesatuan sekerja, serta institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan.

Sementara itu, ‘Careers and Skills Passport’ adalah salah satu inisiatif SkillsFuture sempena ulang tahunnya yang ke-10 pada 2025, untuk menggalakkan rakyat Singapura meningkatkan kemahiran mereka.

Ia menghimpunkan rekod kerjaya dan kemahiran seseorang yang telah disahkan, termasuk sejarah pekerjaan, kelayakan, dan sijil.

Pengguna boleh memilih dan berkongsi rekod tertentu dengan majikan dan portal pekerjaan seperti JobStreet dan FastJobs melalui pautan. Seramai 4,900 orang telah melakukannya setakat April.

Dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), pasport itu mempunyai empat komponen utama – pekerjaan, kemahiran, sijil akademik dan sijil pekerjaan.

Dengan pasport itu, majikan tidak memerlukan masa yang lama untuk menapis pemohon, dan menghadapi risiko yang lebih rendah daripada maklumat yang tidak tepat.

Lebih kurang 30 majikan awam dan swasta telah menggunakan atau akan menggunakan pasport tersebut.

Menurut SkillsFuture, ia boleh digunakan untuk melengkapkan resume serta meningkatkan mutu permohonan kerja dalam talian dengan menyediakan rekod yang telah disahkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg