Pasaran buruh menunjukkan beberapa petanda positif, dengan bilangan pekerjaan meningkat dan kadar pemecatan kekal rendah.
Bilangan pekerjaan di Singapura meningkat sebanyak 8,400 dalam suku kedua (Q2) 2025, jauh lebih tinggi berbanding 2,300 dalam suku sebelumnya, dan meningkat berbanding 7,700 dalam suku terakhir (Q4) 2024.
Terdapat lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga, penduduk tetap (PR) serta pekerja asing dalam suku kedua.
Demikian menurut data awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 30 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Namun, pertumbuhan pada suku kedua itu lebih rendah berbanding 11,300 pekerjaan yang ditambah pada tempoh yang sama pada 2024.
Namun, MOM berkata data itu mencerminkan pasaran buruh yang berdaya tahan pada suku kedua, yang disokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Ekonomi Singapura berkembang 4.3 peratus pada suku kedua, mengekalkan pertumbuhan 4.1 peratus pada suku pertama.
Pekerjaan penduduk terus meningkat dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, kesihatan, dan perkhidmatan sosial.
Namun sektor berorientasikan luar, seperti perkhidmatan profesional serta informasi dan komunikasi, mengalami penurunan lagi.
Sektor perdagangan runcit turut menyaksikan penurunan pekerja apabila majikan terus mengurangkan jumlah pekerja selepas pengambilan pekerja sementara untuk perayaan akhir tahun pada suku terakhir 2024.
Pertumbuhan pekerjaan bukan penduduk didorong sepenuhnya oleh pemegang permit kerja, terutama dalam sektor binaan.
Peningkatan itu juga dilihat dalam sektor seperti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta perkhidmatan kesihatan dan sosial.
Kadar pengangguran PR dan warga negara pada Jun masing-masing adalah 2.9 peratus dan 3 peratus.
“Setelah penurunan sedikit pada April dan Mei, kadar pengangguran PR dan warga negara meningkat sedikit pada Jun, kembali ke tahap yang dilihat pada Mac,” kata MOM.
Terdapat 3,500 pemecatan antara April dengan Jun, satu angka yang kekal stabil atau lebih rendah di kebanyakan sektor.
Kementerian berkata penyusunan semula perniagaan adalah punca utama pemecatan.
Bagi setiap 1,000 pekerja, 1.4 orang telah dipecat pada suku kedua, lebih rendah sedikit berbanding 1.5 pada suku sebelumnya.
MOM menyatakan bahawa ketidaktentuan ekonomi sejagat dijangka berterusan dalam bulan-bulan akan datang dan mungkin memberi tekanan terhadap pengambilan pekerja dan pertumbuhan gaji, terutama dalam sektor berorientasi luar.
Penurunan dalam jangkaan pendapatan telah dikesan dalam sektor seperti kewangan dan perkhidmatan insurans, perkhidmatan profesional, dan pengangkutan.
Sentimen perniagaan tetap berhati-hati.
Dalam tinjauan MOM antara April dengan Jun, peratusan firma yang merancang mengambil pekerja turun sedikit, daripada 44 peratus pada suku kedua kepada 43.7 peratus pada suku ketiga.
Peratusan firma yang merancang untuk menaikkan gaji juga menurun, daripada 24.4 peratus kepada 22.4 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg