Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menggesa lulusan baru dan ibu bapa supaya “kekal tenang” di tengah kebimbangan yang meningkat mengenai pasaran pekerjaan yang mencabar, dengan data awal menunjukkan prospek yang lebih baik bagi lulusan kohort 2025.
Beliau berkata pasaran pekerjaan secara amnya kekal kukuh, dengan lebih banyak jawatan kosong berbanding bilangan pencari kerja pada Mac – iaitu 1.64 kekosongan bagi setiap individu menganggur.
“Kami telah mendengar kebimbangan mengenai lulusan baru yang mungkin berasa bimbang memulakan kerjaya mereka dalam zaman yang tidak menentu ini,” katanya pada taklimat media oleh Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), pada 10 Julai.
“Kami faham kebimbangan itu, tetapi kami mahu memberi jaminan bahawa sokongan tersedia untuk mereka,” tambah beliau.
Menurut data awal, kadar pekerjaan bagi kohort lulusan baru 2025 lebih tinggi berbanding kohort 2024, katanya.
“Berdasarkan kajian awal oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kadar pekerjaan sehingga Jun 2025 ialah 51.9 peratus,” kata Dr Tan.
Ia tinggi sedikit berbanding kadar 47.9 peratus pada Jun 2024.
Beliau menegaskan bahawa keadaan ini masih di peringkat “awal” dan data ini hanya memberi “gambaran kecil”.
Namun beliau menegaskan:
“Walaupun saya rasa ada sedikit ketidaktentuan, saya ingin tekankan bahawa kita tidak berada dalam krisis atau kemelesetan ekonomi.”
Kenyataan beliau dibuat di tengah perhatian awam yang meningkat terhadap kesukaran mendapat pekerjaan dalam kalangan lulusan baru, lapor The Straits Times (ST).
Menurut tinjauan pekerjaan lulusan 2024, sekitar 12.9 peratus lulusan baru masih menganggur enam bulan selepas tamat pengajian, meningkat daripada 10.4 peratus pada 2023.
Dr Tan berkata jawatan kosong bagi pekerjaan peringkat permulaan kekal stabil, dengan sektor awam mempunyai kira-kira 2,400 kekosongan segera yang sesuai untuk lulusan baru.
“Kepada lulusan 2025, pencarian kerja anda masih di peringkat awal,” katanya.
“Kami menggalakkan semua untuk terus berfikiran terbuka terhadap pelbagai peluang dalam (proses) pencarian kerja mereka.”
Pemerintah dan rakan tiga pihak juga akan terus memberi sokongan, jelas Dr Tan.
Dr Tan juga menggesa syarikat agar “berfikir untuk jangka panjang dalam membina pemimpin masa depan dan melabur dalam pembangunan tenaga kerja muda kita”.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, yang juga anggota Sert, berkata NTUC mendapati lulusan baru berdepan beberapa cabaran ketika memasuki pasaran kerja – iaitu kemahiran, jangkaan, peluang pekerjaan dan pengalaman – yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan lulusan baru.
Sesetengah belia berasa kurang bersedia dari segi kemahiran untuk industri yang pesat berubah, manakala jangkaan mereka mengenai gaji dan keseimbangan kerja dan kehidupan mungkin berbeza dengan majikan.
Ramai turut bimbang tentang peluang pekerjaan disebabkan ketidakstabilan global.
Kebiasaan majikan yang mengutamakan calon berpengalaman “menyukarkan pencari kerja kali pertama”, kerana mereka memerlukan pengalaman untuk mendapat pekerjaan tetapi juga perlu pekerjaan untuk mendapatkan pengalaman, jelas Encik Ng.
Dr Tan turut menyatakan pemerintah dan pergerakan buruh akan meluaskan akses khidmat panduan kerjaya bagi membantu pekerja dan pencari kerja mengharungi ketidakpastian ekonomi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg