MOM: Pasaran pekerja tumbuh pada 2025; pengangguran, pemberhentian kekal rendah
MOM: Pasaran pekerja tumbuh pada 2025; pengangguran, pemberhentian kekal rendah
Pertumbuhan dijangka berterusan pada suku pertama 2026, kira-kira satu dalam empat majikan rancang menaikkan gaji pekerja
Pasaran pekerja Singapura terus berkembang pada suku keempat 2025 dan sepanjang tahun tersebut, sedang kadar pengangguran dan pemberhentian tenaga kerja kekal rendah.
Pertumbuhan ini dijangka berterusan pada suku pertama 2026, dengan kira-kira satu dalam empat majikan merancang menaikkan gaji susulan pasaran pekerja yang sengit.
Demikian menurut data awal yang diterbitkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 29 Januari.
Tinjauan MOM mendapati semakin banyak syarikat merancang untuk menaikkan gaji pekerja dalam tempoh yang sama, meningkat daripada 19.3 peratus pada September 2025 kepada 26.4 peratus pada Disember 2025.
Menurut MOM, trend ini mencerminkan “peningkatan prestasi perniagaan dan persaingan berterusan untuk tenaga kerja dalam bidang tertentu”.
Jumlah pekerjaan di Singapura, yang merujuk kepada bilangan penduduk tempatan dan pekerja asing yang mempunyai pekerjaan di sini, meningkat sebanyak 19,600 sepanjang Oktober hingga Disember 2025.
Jumlah ini lebih rendah berbanding pertumbuhan 25,100 pada suku ketiga 2025, namun lebih tinggi daripada pertumbuhan yang dicatatkan pada separuh pertama 2025.
Pada 2025, jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 57,300, melebihi pertumbuhan 44,500 pada 2024.
Ramai pekerja penduduk tempatan – termasuk warga Singapura dan penduduk tetap – didapati berkhidmat dalam sektor perkhidmatan kewangan serta perkhidmatan kesihatan dan sosial.
Sementara itu, pekerja asing sebilangan besar berkhidmat dalam sektor pembinaan, yang terutamanya melibatkan pemegang permit kerja.
Kadar pengangguran sepanjang 2025 secara umumnya kekal tidak berubah pada 2 peratus – sama dengan kadar yang dicatatkan pada 2024 dan 2023.
Jumlah keseluruhan pemberhentian tenaga kerja meningkat kepada 14,400 pada 2025, berbanding 13,020 pada 2024.
Peningkatan ini terutamanya didorong oleh langkah pemberhentian pekerja dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan serta sektor perkhidmatan kewangan.
“Peningkatan ini sebahagian besarnya mencerminkan kadar pengurangan tenaga kerja lebih tinggi pada tiga suku pertama 2025 berbanding tempoh sama pada 2024,” jelas MOM.
Penyusunan semula syarikat menjadi sebab utama yang diketengahkan oleh syarikat bagi langkah pemberhentian pekerja pada 2025.
Melangkah ke hadapan, pasaran pekerja dijangka terus berkembang meskipun majikan lebih berhati-hati dalam pengambilan tenaga kerja, menurut kementerian itu.
Tinjauan MOM mendapati kadar syarikat yang menjangka akan mengambil pekerja dalam tiga bulan akan datang menurun sedikit daripada 44.1 peratus pada September kepada 43.3 peratus pada Disember.
Manakala, kadar syarikat yang menjangka akan memberhentikan pekerja pula meningkat daripada 2.3 peratus kepada 4.3 peratus sepanjang tempoh sama.
Namun, MOM berkata kadar tersebut “masih rendah”, menunjukkan ia terarah lebih kepada langkah penyesuaian perniagaan berbanding pengurangan tenaga kerja secara meluas.
Sementara itu dalam satu catatan Facebook pada 29 Januari, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, berkata pihaknya akan terus menyokong pekerja menerusi peralihan kerjaya, bukan sahaja semasa keadaan ekonomi merosot tetapi juga ketika ekonomi berkembang.
Cik Yeo berkata pemberhentian pekerja kekal rendah dan didorong sebesarnya oleh penyusunan semula perniagaan berbanding kehilangan banyak pekerjaan.
Menurutnya, sedang transformasi berterusan dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) berubah, sokongan awal bagi pekerja untuk menjalani kemahiran semula, menyesuaikan diri dan beralih kepada peranan baru menjadi semakin penting.
“Melalui NTUC, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dan NTUC Youth, pekerja dan pencari kerja muda boleh mengakses kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan, dan laluan latihan untuk memperkukuh daya kerja serta memastikan mereka kekal bergerak.
“NTUC akan terus bekerjasama dengan pekerja, majikan dan rakan tiga pihak bagi memastikan pertumbuhan beralih kepada pekerjaan berkualiti, gaji yang adil serta peluang yang sebenar – dan memastikan tiada pekerja melalui perubahan seorang diri,” kata Cik Yeo, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol.

