Sebuah kuasa besar pertanian baru bakal muncul di wilayah selatan Malaysia.
Southern Agropolis, hab agromakanan utama di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dijadualkan memulakan pembangunan prasarananya pada Januari 2026.
Projek tersebut menandakan antara rancangan paling bercita-cita tinggi bagi Johor untuk mengindustrikan pengeluaran makanan bagi pasaran Malaysia dan Singapura.
Southern Agropolis direka untuk membolehkan usahawantani, atau ‘agripreneur’, mengelakkan kos permulaan tinggi seperti penyediaan tanah, bilik sejuk, logistik dan pemprosesan, kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Archisen, Encik Vincent Wei, sebuah syarikat teknologi dan pengendali ladang berpangkalan di Singapura.
Southern Agropolis merupakan usahasama antara Archisen dengan Southern Catalyst (Socat), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Malaysia.
Fasa kritikal pertama akan memberi tumpuan kepada pembinaan jalan raya, bekalan elektrik, air dan sistem kumbahan bagi menyokong pembangunan tersebut.
Menjelang suku ketiga 2026, para petani dari Malaysia, Singapura dan rantau lain dijangka berpindah ke tapak itu, dengan pengeluaran komersial dijangka bermula pada 2027, kata Encik Wei kepada The Business Times (BT).
Dengan plot pertanian sedia diusahakan, stor sejuk, kemudahan logistik dan pemprosesan makanan sekunder, Southern Agropolis, akan membolehkan usahawantani memulakan perjalanan pertanian mereka dengan lebih mudah dan cekap.
Bagi memperkukuh sokongan kewangan, Socat dan Archisen menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berasingan dengan CGS International Securities Malaysia sebagai rakan kewangan strategik pada Oktober 2025.
Pelaburan itu akan merangkumi sektor pertanian, pemprosesan makanan, logistik serta pembangunan hab inventori serantau.
Encik Wei menambah minat terhadap pertanian moden semakin meningkat dalam kalangan golongan muda, didorong oleh teknologi dan tujuan sosial.
“Anak muda hari ini mahu bekerja dengan teknologi dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat, sama ada melalui daya tahan makanan atau kelestarian… Ini bukan sekadar pertanian, tetapi masa depan pertanian,” katanya.
Tambah beliau, Southern Agropolis berpotensi mengubah cara ladang dibina, dibiayai dan diusahakan. Ini sekali gus mengubah aliran bekalan makanan segar merentasi salah satu sempadan paling penting di Asia Tenggara.
Menurut laporan BT, lokasi projek itu juga strategik memandangkan Sedenak merupakan salah satu daripada sembilan zon utama dalam JS-SEZ.
Tapak tersebut terletak sekitar 50 minit (jika memandu) dari Tambak Johor-Singapura dan hanya 10 minit dari Ibrahim Technopolis, satu lagi pembangunan utama oleh Johor Corporation (JCorp).
Walaupun Sedenak terkenal sebagai lokasi pusat data, keselamatan makanan juga menjadi salah satu keutamaan strategiknya.
Ini disebabkan, selain pertanian primer, Southern Agropolis bakal dijadikan satu pusat kerjasama yang menyatukan ladang, pengeluar makanan dan institusi penyelidikan, kata Encik Wei.
Ekosistem ini juga akan menggalakkan kerjasama antara universiti dengan agensi penyelidikan dari Malaysia dan Singapura.
Tapak itu juga hanya 40 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Apabila JS-SEZ diumumkan, Desaru dan Sedenak dikenal pasti untuk keselamatan makanan,” katanya.
“Memang sudah ada niat strategik oleh kedua-dua pihak pemerintah untuk menumpukan zon ini kepada pertanian, manakala kawasan lain menumpukan kepada perkilangan dan logistik.”
Dalam pada itu, beliau menambah para petani dan syarikat agromakanan dari luar Malaysia dan Singapura – termasuk dari China, Korea Selatan dan Jepun – dialu-alukan memohon plot pembangunan, khususnya mereka yang mahu mendapat akses langsung ke pasaran pengguna Singapura dan Malaysia serta laluan eksport serantau.
Southern Agropolis juga sejajar dengan strategi keselamatan makanan Singapura yang semakin berkembang.
Kemudahan berkenaan kini berada dalam fasa percubaan penanaman, dengan pengeluaran komersial sepenuhnya dijangka bermula pada awal 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg