Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka diperkenalkan awal 2026 disifatkan sebagai dokumen strategik yang bakal membentuk hala tuju ekonomi Johor untuk beberapa dekad akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, menegaskan bahawa Pelan Induk JS-SEZ bukan hanya rangka dasar, tetapi “pelan strategi jangka panjang” yang memperincikan bagaimana Johor dan Singapura akan membangun sebuah ekosistem ekonomi yang lebih terhubung, terancang dan berdaya saing.
Tambahnya, pelan induk itu akan memberikan kejelasan kepada pelabur mengenai sektor keutamaan, kawasan tumpuan dan bentuk kerjasama rentas sempadan yang akan digerakkan secara konkrit.
“Inti pati pelan induk ini ialah pembentukan struktur geografi dan sektor yang jelas, merangkumi sembilan zon perintis dengan keluasan kira-kira 3,500 kilometer persegi.
“Setiap zon mempunyai fungsi tersendiri yang saling melengkapi dan disepadukan dengan 11 sektor utama bernilai tinggi.
“Ini bukan usaha menjadikan Johor sekadar lokasi kos rendah, tetapi usaha memposisikan Johor sebagai rakan strategik bernilai tinggi dalam rantaian bekalan serantau dan global,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Encik Lee menjelaskan bahawa insentif dan kemudahan yang diumumkan sebelum ini juga mempunyai logik dasar yang kukuh.
“Semua insentif adalah bersyarat dan berasaskan keberhasilan sebenar seperti penciptaan pekerjaan mahir, pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi serta penglibatan lebih besar syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.
“Aspek keterhubungan fizikal dan prosedur turut menjadi tunjang untuk memastikan pergerakan barangan, pelaburan dan tenaga kerja lebih cekap, teratur dan mudah diramal.
“Matlamat akhirnya ialah pertumbuhan yang mampan dan menyeluruh,” ujarnya.
Menurut Encik Lee, pelan induk itu menetapkan sasaran boleh diukur, tadbir urus yang jelas serta penyelarasan rapat dengan dasar bakat, tenaga dan ekonomi hijau.
“Jika dilaksanakan dengan tertib, JS-SEZ bukan sahaja menarik pelaburan bermutu, tetapi meningkatkan gaji, mendalami kemahiran dan membawa manfaat terus kepada rakyat Johor sambil memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Singapura untuk jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Lee turut berkongsi hasil lawatan kerjanya bersama Koridor Utiliti Johor dan BA Utilities ke Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) di Singapura bagi meneliti pengurusan Koridor Utiliti dan Right of Way (ROW) yang berasaskan perancangan jangka panjang negara ini.
Beliau berkata perancangan bandar yang tersusun, kawal selia yang ketat dan penyelarasan operasi utiliti yang mantap di Singapura membuktikan bahawa pengurusan koridor utiliti bukan sekadar isu teknikal, tetapi asas kepada daya saing ekonomi dan kebolehpercayaan kemudahan asas seperti air, elektrik, telekomunikasi dan gas.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan konflik prasarana, malah menjimatkan kos, mempercepatkan pelaksanaan projek dan mengelakkan gangguan yang boleh menjejas kecekapan perkhidmatan,” katanya.
Tambahnya, pengalaman tersebut amat relevan kepada Johor ketika negeri itu sedang mempercepat pembangunan prasarana bagi menyokong pelaburan strategik, pertumbuhan bandar dan pelaksanaan JS-SEZ.
“Johor komited mempelajari amalan terbaik serantau, menyesuaikan dengan konteks negeri dan membangunkan sistem koridor utiliti yang moden, telus dan mampan demi masa depan rakyat dan generasi seterusnya,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg