ISKANDAR PUTERI: Johor mencatat prestasi cemerlang sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia.
Ia disenarai dalam tiga negeri utama yang merekod nilai pelaburan asing secara langsung (FDI) tertinggi dari sudut prestasi pada 2024.
Johor terus mengukuhkan kedudukan dengan mencatat jumlah pelaburan bernilai RM48.5 bilion ($14.69 bilion) pada 2024, berbanding RM43.1 bilion pada 2023.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata mengikut data yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida), prestasi FDI yang direkodkan Johor sehingga suku ketiga 2024 adalah RM18 bilion.
“Namun, pada suku keempat, kita berjaya meningkatkan jumlah pelaburan itu dengan merekodkan nilai FDI berjumlah RM30.5 bilion dalam tiga bulan terakhir 2024,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Hab Halal Pertama Paris Baguette di Taman Teknologi Nusajaya, dekat Iskandar Puteri, Johor, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengikut data Mida, daripada jumlah pelaburan Johor sebanyak RM48.5 bilion itu, sektor perkhidmatan menyumbang RM34 bilion, manakala sektor perkilangan ialah RM14.2 bilion.
Selangor merekodkan FDI tertinggi dalam Malaysia iaitu sebanyak RM101.1 bilion, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM91.5 bilion); Johor (RM48.5 bilion); Kedah (RM45.8 bilion); dan Pulau Pinang (RM32 bilion).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Encik Lee Ting Han, berkata pelaburan kilang Hub Halal Paris Baguette yang dimiliki oleh syarikat gergasi makanan dan minuman Korea Selatan, SPC Group, itu membabitkan nilai melebihi RM130 juta.
Selain mewujudkan 100 peluang pekerjaan tempatan, pihak syarikat menyatakan komitmen untuk mengambil bekalan tempatan dan juga rantaian bekalan.
“Ini adalah kilang halal pertama bagi produk makanan Paris Baguette yang menghasilkan produk halal yang akan dibekalkan untuk pasaran Asia, Asia Tenggara dan Asia Barat.
“Kita juga difahamkan ada kemungkinan bahawa produk dihasilkan akan dapat dieksport ke Korea Selatan memandangkan di sana ada pelbagai pelancong yang begitu besar khususnya dari Asia Barat dalam kalangan orang Islam,” katanya.
Sementara itu, pada 24 Februari, ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) yang beribu pejabat di Singapura mengadakan majlis pecah tanah bagi kemudahan pusat data pertamanya di Johor.
Dikenali sebagai STT Johor 1, kemudahan itu dirasmikan Datuk Onn Hafiz di kampus pusat data STT Johor, justeru memperteguh komitmen Johor untuk memajukan prasarana digital dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
STT GDC selaku antara penyedia pusat data yang paling pesat berkembang di dunia meletakkan secara strategik kampus pusat datanya di Johor, iaitu di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Iskandar Puteri, dengan jarak hanya 15 kilometer dari Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg