Semua cawangan pasar raya Cold Storage dan Giant di Singapura akan dijual kepada kumpulan runcit Malaysia, Macrovalue, pada harga awal $125 juta.
Pemilik semasa, DFI Retail Group, dan Macrovalue berkata pada 24 Mac bahawa perjanjian itu meliputi kesemua 48 cawangan Cold Storage di sini – termasuk yang berada di bawah jenama CS Fresh, CS Gold, dan Jason’s Deli – dan 41 cawangan Giant, serta dua pusat pengedaran.
Urus niaga itu dijangka selesai pada separuh kedua 2025, dengan Macrovalue memperoleh 100 peratus perniagaan itu, lapor The Straits Times.
DFI yang tersenarai di Singapura akan mengalihkan perhatiannya kepada Guardian Pharmacy dan kedai serbaneka 7-Eleven di sini dan di rantau ini.
Selain di Singapura, DFI mempunyai kehadiran di pasaran lain seperti Thailand, Hong Kong dan Filipina.
Harga saham DFI naik 5.3 peratus selepas pengumuman itu.
Macrovalue pula sudah memiliki operasi Cold Storage dan Giant di Malaysia, setelah membeli GCH Retail Group yang berpangkalan di Malaysia pada 2023, yang mengendalikan jenama-jenama itu di sana sebelum ini.
Dengan membawa rangkaian di Singapura itu dalam kumpulannya, Macrovalue boleh “meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan keupayaan rantaian bekalan serantau dan meningkatkan pengalaman pelanggan keseluruhan”, kata pemilik bersama, Datuk Andrew Lim.
“Kami akan memastikan kesinambungan pasukan pengurusan dan operasi tempatan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan untuk pelanggan,” katanya.
“Sebagai pemegang saham baru, operasi sedia ada Macrovalue di Malaysia juga akan dapat menyokong operasi Cold Storage di Singapura merentasi rantaian bekalan dan pemerolehan untuk membantu meningkatkan jenis barangan dan nilai untuk pelanggan kami.”
Macrovalue berkata peralihan di Singapura akan berjalan “lancar”.
Kumpulan itu diasaskan oleh Datuk Lim dan Datuk Gary Yap pada 2022.
Encik Lim Boon Cheong, pengarah urusan semasa DFI Retail Group untuk Food Singapore, akan terus menerajui Cold Storage sebagai pengarah urusannya.
Encik Lim, yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dengan Cold Storage, telah memegang beberapa jawatan kanan dalam DFI Retail Group – termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) Cold Storage Singapore dan CEO Group Convenience di mana beliau mengetuai operasi 7-Eleven di Hong Kong, China Selatan dan Singapura.
Dengan pelepasan perniagaan makanan Singapuranya, DFI akan mengalihkan sumbernya ke arah perniagaan Guardian dan 7-Eleven di sini, kata ketua eksekutifnya, Encik Scott Price.
“Dalam persekitaran kos makanan dan inflasi yang semakin meningkat hari ini, adalah penting untuk memanfaatkan skala dan kecekapan operasi untuk melindungi pelanggan daripada turun naik harga sambil mengekalkan mutu dan standard perkhidmatan,” katanya.
Ini berlaku selepas operasi pasar raya DFI di Singapura menikmati keuntungan pada 2024 selepas beberapa tahun mengalami kerugian.
Walaupun kembali meraih keuntungan, DFI berkata pada awal Mac bahawa ia hanya menjangkakan hasil pendapatan pasar rayanya di Singapura kekal stabil berikutan persaingan yang sengit dalam perusahaan itu, dan ia melihat pertumbuhan dan margin untung yang lebih baik daripada perniagaan 7-Elevennya pada masa hadapan.
Sebanyak 11 cawangan Giant ditutup pada 2024, manakala lima cawangan baru di bawah kumpulan jenama pasar raya DFI dibuka pada tahun itu.
Cawangan itu ialah CS Fresh di Chancery Court dan New Bahru, Cold Storage di Pasir Ris Mall dan Suntec City, dan Giant di Tengah Plantation Plaza, yang merupakan pasar raya pertama dan satu-satunya di Plantation Village.
Beberapa cawangan pasar raya, termasuk Giant di IMM di Jurong East, dan stesen MRT Simei, serta Cold Storage di Tampines 1, telah diubah elok dan dinaik taraf.
Kedai terbaru yang ditutup ialah Cold Storage di Leisure Park Kallang, pada 10 Mac.
Antara November 2024 dengan Februari 2025, tiada cawangan ditutup.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg