Niaga
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma teknologi kewangan Aspire perolehi lesen operasi di Australia, Eropah, AS

Dec 16, 2025 | 7:30 PM
aspire
Aspire, yang memberi perkhidmatan terutamanya kepada syarikat pemula dan perniagaan pasaran kecil dan sederhana, mempunyai lebih 600 kakitangan merentas sembilan negara dan juga pelanggan di lebih 30 pasaran. - Foto ASPIRE

Aspire, syarikat teknologi kewangan dengan ibu pejabat di Singapura, telah memperoleh lesen untuk beroperasi di Australia, Eropah dan Amerika Syarikat sedang pelanggan di sini semakin mencari peluang berkembang di luar negara.

Dengan penambahan terkini itu, syarikat itu sejauh ini telah memperolehi lapan lesen dan pendaftaran kawal selia sepanjang 2024.

Aspire memberi perkhidmatan terutamanya kepada syarikat pemula, atau ‘start-up’, serta perniagaan pasaran kecil dan sederhana yang lebih celik digital dan antarabangsa, sekali gus menimbulkan keperluan pembayaran, perbendaharaan dan pematuhan yang rumit.

Encik Andrea Baronchelli, pengasas bersama dan ketua eksekutif Aspire, berkata bahawa semakin banyak syarikat Singapura beroperasi di seluruh dunia.

“Kemasukan kami ke pasaran seperti Australia, Eropah dan Amerika Syarikat bermakna syarikat-syarikat ini boleh menggunakan Aspire sebagai sebahagian daripada alat perkembangan mereka sendiri.

“Daripada perlu mewujudkan semula operasi perniagaan dan hubungan perbankan perniagaan dalam setiap pasaran baru – satu proses yang boleh menjadi rumit dan memakan masa, terutamanya untuk syarikat asing – pelanggan boleh mula beroperasi dengan lancar... dan berurus niaga seperti perniagaan tempatan dari hari pertama,” katanya dalam laporan The Straits Times.

Encik Baronchelli menambah bahawa ini menghasilkan pembayaran yang lebih pantas, ketelusan yang lebih tinggi dan susunan kewangan sepadu yang menyokong operasi global tanpa memaksa perniagaan bergantung pada pelbagai penyedia sedang mereka berkembang.

“Kami telah merancang pendekatan ini dengan sengaja. Perkhidmatan kewangan sememangnya bersifat tempatan dan mesti selaras dengan keperluan kawal selia dan pematuhan dalam setiap pasaran. Pada masa yang sama, perniagaan moden beroperasi di peringkat global dan mengharapkan sistem yang berfungsi secara konsisten merentasi sempadan,” kata beliau.

Dengan lesen perkhidmatan kewangan Australia yang penuh, Aspire akan membawa seluruh susunan kewangannya, termasuk akaun berbilang mata wang, pembayaran dan kad, kepada beribu-ribu syarikat Australia.

Aspire juga telah memperoleh lesen Institusi Wang Elektronik di Eropah dan menandatangani komitmen pelaburan rasmi dengan Kementerian Ehwal Ekonomi Belanda.

Belanda akan menjadi pangkalannya di Eropah.

Selain itu, di Amerika, firma itu berdaftar sebagai perniagaan perkhidmatan wang dan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa sebagai penasihat pelaburan berdaftar.

Kelulusan ini meluaskan keupayaan Aspire untuk menawarkan rangkaian kewangannya yang lebih luas kepada syarikat Amerika dan merupakan langkah penting ke arah pelancaran Amerika yang dirancang pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg