Singapura dan China memeterai 27 perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MOU) – rekod tertinggi dalam satu rundingan – selepas mesyuarat peringkat tinggi antara kedua-dua negara sempena Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-21 di Chongqing, China, pada 15 Disember.
Perjanjian sedemikian meliputi antara lain sektor kesihatan, makanan dan ekonomi digital.
Ia termasuk rancangan mengembangkan projek pemerintah-ke-pemerintah (G2G) yang ketiga, iaitu Inisiatif Kesalinghubungan Chongqing (CCI).
Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang.
Kedua-dua negara menekankan kepentingan bagi menjalin hubungan lebih mendalam dan lebih luas, di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik, perubahan teknologi yang pesat dan cabaran ekonomi.
Berlatarbelakangkan cabaran sedemikian, Encik Gan berkata, “adalah lebih penting bagi Singapura dan China terus mencari jalan untuk bekerjasama, menjangkakan cabaran dan memanfaatkan peluang baru bagi rakyat dan perniagaan kita”.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan bagi JCBC ke-21.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, sedang dalam lawatan kerja keduanya ke China dalam tempoh empat bulan.
Edisi JCBC kali ini bertepatan dengan beberapa detik penting dua hala antara kedua-dua negara, salah satu daripadanya adalah ulang tahun ke-10 CCI.
Ini selain ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Singapura dan China, dengan pertukaran lawatan rasmi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.
Encik Gan menyifatkan hubungan China dan Singapura menjangkau lebih dari 35 tahun.
“Hubungan awal antara mendiang Lee Kuan Yew dengan mendiang Deng Xiaoping, telah menjalinkan persefahaman dan hormat secara bersama, yang telah meletakkan asas hubungan dua hala kedua-dua negara untuk berkembang dan diperdalam,” ujarnya.
Asas itulah yang membuka jalan bagi tiga projek G2G iaitu Taman Perindustrian Suzhou, Bandar Eko Tianjin dan CCI.
Sementara itu semasa berucap, Encik Ding berkata meskipun terdapat peningkatan unilateralisme di peringkat sejagat, yang membolehkan satu pihak sahaja untuk mengambil tindakan, hubungan China dan Singapura telah berkembang dengan stabil, di samping kerjasama yang membuahkan hasil.
Beliau menyatakan perdagangan antara kedua-dua negara dalam 11 bulan pertama 2025 meningkat 8.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala bilangan penerbangan antara Singapura dengan China juga telah melebihi paras sebelum pandemik Covid-19.
Selepas perbincangan selama hampir tiga jam, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran atau pengumuman dokumen berkenaan 27 perjanjian.
Lima daripada dokumen tersebut menetapkan rancangan CCI untuk 10 tahun seterusnya.
Ia sekali gus melanjutkan kerjasama kepada bidang baru seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, kewangan sektor hijau dan perdagangan digital.
Ia di samping memperkukuhkan empat bidang kerjasama yang telah dibangunkan pada peringkat awal, merangkumi perkhidmatan kewangan, penerbangan, pengangkutan dan logistik, serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Pelaburan Singapura di Chongqing telah meningkat dua kali ganda daripada AS$5.7 bilion ($7.4 bilion) pada 2015 kepada AS$12.7 bilion pada 2024.
Perdagangan antara Chongqing dengan Singapura, pelabur terbesarnya, juga meningkat 15.5 peratus pada 2024 berbanding 2023, menukil laporan The Straits Times.
“
“Adalah lebih penting bagi Singapura dan China terus mencari jalan untuk bekerjasama, menjangkakan cabaran dan memanfaatkan peluang baru bagi rakyat dan perniagaan kita... Hubungan awal antara mendiang Lee Kuan Yew dengan mendiang Deng Xiaoping, telah menjalinkan persefahaman dan hormat secara bersama, yang telah meletakkan asas hubungan dua hala kedua-dua negara untuk berkembang dan diperdalam.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg