Topic followed successfully
Go to BHkuJualan rumah kedai Kampong Gelam merosot 60%, majoriti libatkan pembeli setempat
Jualan rumah kedai Kampong Gelam merosot 60%, majoriti libatkan pembeli setempat
URA dedahkan data bagi sangkal gambaran kenaikan harga hartanah, kesan terhadap kelangsungan perniagaan warisan disebabkan pembeli asing
Jualan rumah kedai Kampong Gelam merosot 60%, majoriti libatkan pembeli setempat
Penjualan rumah kedai di Kampong Gelam merosot sekitar 60 peratus – daripada purata 15 penjualan setahun antara 2020 hingga 2022 kepada hanya enam setahun bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Di Haji Lane pula, tiada sebarang transaksi dicatatkan antara 2023 hingga 2025, berbanding purata tiga transaksi setahun dalam tempoh sebelumnya pada 2020 hingga 2022.
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mendedahkan statistik tersebut dalam satu catatan di Facebook menyusuli tularnya beberapa video dan laporan dalam talian yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan harga hartanah serta kesan terhadap kelangsungan perniagaan warisan dan identiti budaya kawasan tersebut, khususnya di Haji Lane.
Dari segi profil pembeli, URA berkata, sekitar tiga perempat daripada urus niaga antara 2020 hingga 2025 melibatkan pembeli tempatan.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, hanya satu rumah kedai dijual kepada pembeli asing pada 2024, manakala tiada transaksi sedemikian direkodkan pada 2025.
Kampong Gelam terkenal dengan deretan rumah kedai yang dipelihara sebagai sebahagian daripada daerah warisan negara.
URA dalam catatannya itu bagaimanapun akur bahawa perniagaan warisan di kawasan Kampong Gelam kini berdepan cabaran operasi yang semakin rumit, didorong perubahan cita rasa pengguna serta keadaan pasaran yang kian dinamik.
Bagi mengekalkan keunikan kawasan itu, beberapa langkah telah diperkenalkan, jelas URA.
Antaranya seperti yang dilaporkan buat pertama kali oleh Berita Harian (BH), sejak Jun 2025, pembukaan kedai cenderamata baharu tidak lagi dibenarkan di Kampong Gelam.
Ini melengkapi sekatan sedia ada terhadap pembukaan bar, pub, kelab malam, pusat karaoke serta restoran makanan segera Barat.
Pasukan Petugas Silang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya telah melaksanakan pelbagai skim bantuan serta program bagi menyokong kelangsungan perniagaan tradisional dan memperkaya pengalaman pengunjung.
Satu program perintis yang diterajui Perikatan Kampong Gelam (KGA) turut dilaksanakan bagi membantu restoran warisan yang berisiko meninggalkan daerah itu, termasuk memudah cara penempatan semula dalam kawasan yang sama.
URA menambah: “Pihak kami akan terus menilai dan menyesuaikan langkah-langkah sedia ada bagi memastikan keseimbangan antara pemeliharaan identiti sejarah dengan keperluan menawarkan kepelbagaian pengalaman kepada pengunjung.”
Pada masa sama, URA menggesa pihak berkepentingan agar menyalurkan maklum balas melalui KGA dan URA bagi memperkukuh usaha bersama dalam mengekalkan kemeriahan dan jati diri budaya Kampong Gelam.

