URA: Kedai cenderahati baru tidak dibenarkan di Kg Gelam sejak Jun 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

URA: Kedai cenderahati baru tidak dibenarkan di Kg Gelam sejak Jun 2025

Tempat hiburan malam, serta restoran makanan segera Barat juga dilarang
Jan 31, 2026 | 5:30 AM

URA: Kedai cenderahati baru tidak dibenarkan di Kg Gelam sejak Jun 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Kampong Gelam, Arab Street, perniagaan, business, rent
Pengamatan Berita Harian (BH) mendapati beberapa kedai tekstil dan kedai permaidani yang telah beroperasi selama bertahun-tahun lamanya di Kampong Gelam sudah tiada lagi. Sebaliknya, tempat mereka digantikan oleh kedai baru, seperti kedai cenderahati. Berdasarkan kiraan BH, terdapat sekurang-kurangnya lapan kedai cenderahati sepanjang Arab Street (dalam gambar). - Foto BH oleh KHALID BABA

Perniagaan baru, yang sebahagian besarnya kedai-kedai cenderahati, didapati telah menyewa dan mengambil alih unit rumah kedai di Kampong Gelam sejak beberapa tahun lalu, menggantikan beberapa perniagaan warisan yang telah keluar dari kawasan bersejarah itu.

Berdasarkan pengamatan Berita Harian (BH), terdapat sekurang-kurangnya lapan kedai cenderahati sedemikian sepanjang Arab Street, yang memenuhi terutamanya keperluan pelancong.

Beberapa peniaga yang menyewa kedai di Arab Street yang ditemui BH telah menyuarakan keprihatinan mereka tentang penghakisan nilai warisan Kampong Gelam, sedang perniagaan warisan dan tradisional menghadapi cabaran untuk bertahan di kawasan bersejarah itu.

Antara peniaga yang bimbang tentang penghakisan nilai warisan Kampong Gelam ialah Encik Saifullah Achekzai, pemilik kedai permaidani Luxury Carpets di Arab Street.

Beliau sebelum ini menyewa tiga kedai, namun terpaksa melepaskan satu unit pada 2022 kerana tidak mampu membayar harga sewa yang dinaikkan secara bertahap-tahap daripada $8,000 kepada $14,000.

Unit kedai yang dilepaskannya itu kemudian diambil alih oleh kedai cenderahati, menurut Encik Saifullah.

“Banyak kedai kain dan permaidani terpaksa tutup dan digantikan dengan kedai-kedai cenderahati.

“Saya rasa perlu ada tindakan untuk diambil agar peniaga-peniaga tradisi atau warisan… boleh bertahan di Kampong Gelam,” kata beliau.

Kebimbangan ini turut diluahkan anggota masyarakat, seperti Encik Azni Samdin, seorang pereka fesyen berusia 55 tahun, yang merupakan pelanggan tetap di kedai-kedai tekstil Arab Street.

“Saya sedih bukan sahaja sebab kehilangan kedai-kedai untuk membeli kain, tetapi kita akan kehilangan warisan kita.

“Di Arab Street inilah kita boleh cari kain-kain yang memenuhi citarasa masyarakat kita, khususnya untuk majlis perkahwinan atau Hari Raya.

“Saya musykil kenapa banyak sangat kedai cenderahati dan spa yang mengambil alih kedai-kedai kain tradisional ini,” luah beliau.

Dalam menangani isu ini, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam jawapannya kepada pertanyaan BH berkata kedai-kedai cenderahati baru di kawasan bersejarah Kampong Gelam kini tidak lagi dibenarkan.

Ini menyusuli garis panduan yang dikemas kini pada Jun 2025.

URA berkata Pasukan Petugas Silang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya, yang dibentuk pada 2025, bekerja rapat dengan pihak berkepentingan tempatan untuk menyemak dan mengemaskini dasar penggunaan tanah bagi memudahkan gabungan kegunaan lebih baik yang mengekalkan ciri-ciri kawasan bersejarah.

Ini di samping menyediakan kepelbagaian tawaran yang memenuhi citarasa pengunjung yang berubah.

“Misalnya, garis panduan dikemas kini pada Jun 2025 untuk tidak membenarkan kedai cenderahati baru dalam kawasan bersejarah Kampong Gelam, sebagai respons kepada maklum balas oleh pihak berkepentingan tentang bagaimana percambahan kedai sedemikian boleh memberi kesan negatif terhadap ciri dan campuran kegunaan di kawasan itu.

“Ini di samping tidak membenarkan bar, pub, kelab malam dan lounge karaoke baru, serta restoran makanan segera Barat di daerah teras ketiga-tiga kawasan bersejarah (Kampong Gelam, Chinatown dan Little India),” kata URA.

“...Garis panduan dikemas kini pada Jun 2025 untuk tidak membenarkan kedai cenderahati baru dalam kawasan bersejarah Kampong Gelam, sebagai respons kepada maklum balas oleh pihak berkepentingan tentang bagaimana percambahan kedai sedemikian boleh memberi kesan negatif terhadap ciri dan campuran kegunaan di kawasan itu.”
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg