Mereka yang berminat dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) di Singapura kini mempunyai ruang kerja bersama yang dikenali sebagai ‘Lorong AI’ di Chinatown.
Lebih daripada sekadar ruang kerja, ‘Lorong AI’ menjadi tempat bagi mereka yang berminat serta berkemahiran dalam AI untuk meneroka cara memacu pembangunan AI bersama.
Ini termasuk saling bertukar idea dan membincangkan penemuan terkini.
Sejak pelancarannya pada Januari 2025, ‘Lorong AI’ telah menarik hampir 200 anggota dan menganjurkan pelbagai acara serta kelas untuk meningkatkan pemahaman AI.
Berkongsi semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada 7 Mac, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata ‘Lorong AI’ merupakan peluang terbaik untuk individu bekerjasama sambil membangunkan kemahiran antara satu sama lain.
“Inisiatif ‘Lorong AI’ merupakan salah satu cara terbaik untuk orang ramai mempelajari penggunaan teknologi canggih dengan individu yang berfikiran sama.
“Saya dapat rasakan keghairahan mereka untuk belajar serta bekerjasama, dan berharap lebih ramai akan tampil sertai usaha ini agar sama-sama dapat mencetuskan idea-idea menarik bagi memanfaatkan teknologi demi kesejahteraan rakyat Singapura,” ujar beliau.
Ketua Masyarakat di ‘Lorong AI’, Encik Muhammad Zahari Abu Talib, 38 tahun, berkata keperluan untuk ruang seperti itu amat penting kerana sektor AI giat berkembang dengan begitu pesat sekali.
Beliau kini memainkan peranan dalam menghubungkan individu yang berminat tentang AI dengan syarikat dan agensi berbeza.
Ini termasuk agensi daripada sektor awam Singapura seperti Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Teknologi Home Team (HTX) bagi meneroka peluang kerjasama.
“Peranan saya adalah untuk memastikan ruang ini sesuai untuk individu daripada pelbagai latar belakang bertemu, berkongsi pengetahuan dan saling bekerjasama,” kata beliau yang telah bertugas di ‘Lorong AI’ sejak pembukaannya pada Januari.
“Dengan ribuan kertas penyelidikan AI yang diterbitkan setiap hari, kita boleh ketinggalan jika kita tidak mengikuti perkembangannya setiap hari.
“Disebabkan itu, adalah penting peranan ‘Lorong AI’ dalam membolehkan individu bertukar idea dengan pantas dalam satu ekosistem yang kondusif,” ujar Encik Zahari.
Ruang itu turut digunakan untuk menganjurkan program ‘AI Wednesdays’, satu sesi perbincangan mingguan yang memberi tumpuan kepada topik terkini dalam bidang AI.
Walaupun bermula sebagai satu inisiatif kecil, ia telah mendapat sambutan hangat.
Menurut Encik Zahari, program tersebut telah menerima antara 70 dengan 80 peserta setiap minggu.
Program lain termasuk ‘AI Toolsdays’ yang membolehkan peserta meneroka dan mencuba sendiri alat AI yang tersedia, ‘Paper Club’ untuk perbincangan teori, dan ‘Fri-DIYs’ yang memberi peluang kepada peserta untuk bereksperimen secara langsung.
Meskipun ‘Lorong AI’ masih di peringkat awal dan boleh dianggap sebagai inisiatif yang berjaya, ia masih berdepan dengan cabaran.
Salah satu isu utama adalah ruang yang terhad.
“Ada masanya kita perlu sekitar 40 tempat duduk tetapi kapasiti yang ada sekarang tidak mencukupi,” katanya.
Di samping itu, untuk menghidupkan semangat budaya berkongsi dan bekerjasama, ia masih memerlukan dorongan orang ramai.
“Pada mulanya, sukar mendapatkan individu untuk berkongsi penyelidikan mereka.
“Tetapi, kami mendapati bahawa dengan mewujudkan suasana yang selamat dan tidak formal, mereka lebih bersedia untuk berkongsi,” tambahnya.
Dengan itu, apabila program perintis ini berakhir pada Jun nanti, Encik Zahari berharap ‘Lorong AI’ mendapat lebih banyak sokongan daripada orang ramai terutama mereka yang berminat dengan AI.
“Saya berharap ‘Lorong AI’ akan terus berkembang dengan sokongan kukuh daripada orang ramai, menjadikan ia satu platform yang memberi manfaat berterusan kepada semua,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg