Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan mempertingkat rangka kerja Kemahiran Digital Seumur Hidup (DSL) dan sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menawarkan kandungan dan program baru mengenai AI Generatif (GenAI).
Pejabat Digital SG (SDO) juga akan terus membantu rakyat memperoleh kemahiran digital yang diperlukan untuk kehidupan seharian berdasarkan rangka kerja DSL, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Parlimen pada 7 Mac.
“Sejak 2020, SDO telah melatih lebih 370,000 warga emas. 96 peratus warga emas berkomunikasi dalam talian pada 2023, meningkat daripada 87 peratus pada 2017.
“Pelajar yang berminat boleh mendaftar untuk bengkel SDO atau belajar mengikut kadar mereka sendiri melalui sumber di Portal Digital for Life,” kata Cik Rahayu.
Beliau menambah rangka kerja DSL baru akan dipertingkatkan dengan GenAI, menerangkan asasnya, risikonya dan cara mengurusnya, dan aplikasi untuk aktiviti harian, seperti menjana cadangan tempat makan atau aktiviti riadah untuk dicuba.
Dilancarkan pada 2024, rangka kerja DSL menyediakan sumber dan bahan pembelajaran untuk melengkapkan semua rakyat Singapura dengan pengetahuan dan kemahiran digital untuk menjalankan tugas kehidupan harian dalam talian dengan mudah dan selamat.
Ia juga membantu warga belajar melayari ruang digital dengan selamat dan melindungi diri daripada risiko dalam talian.
Rangka kerja ini merangkumi lima kecekapan digital yang boleh digunakan di seluruh aplikasi digital.
Ini termasuk mempelajari cara menyediakan dan menggunakan peranti pintar, meneroka maklumat dalam talian, berkomunikasi dalam talian, berurus niaga dalam talian dan menjadi selamat, pintar dan bersikap baik dalam talian.
Menurut IMDA, sebuah sumber untuk mereka yang ingin belajar akan disediakan secara progresif di portal Digital for Life (DfL) IMDA di www.digitalforlife.gov.sg, di mana pengguna boleh belajar mengikut rentak mereka sendiri melalui video dan buku panduan.
Warga emas yang lebih suka pengalaman pembelajaran secara bersemuka juga boleh mendaftar untuk bengkel GenAI yang dikendalikan oleh SDO atau menghubungi Duta Digital di lebih 30 hab komuniti SDO, tambahnya.
Cik Rahayu turut berkongsi satu inisiatif masyarakat seperti usaha perintis - LorongAI - yang membuka peluang untuk masyarakat berkumpul dan belajar AI bersama.
Menukil contoh Encik Muhammad Zahari Abu Talib sebagai ketua Lorong AI, beliau berkata Encik Zahari membantu menghubungkan individu, memulakan perbincangan, dan menghubungkan kumpulan-kumpulan berbeza mengenai penggunaan AI.
Semasa ucapannya, Cik Rahayu turut berkongsi bahawa Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan memperkenalkan pameran dalam beberapa tahun akan datang yang membolehkan orang ramai mempelajari penggunaan Gen AI.
“Kami berharap pameran ini akan menunjukkan nilai praktikal AI dalam kehidupan seharian, mengujakan rakyat tentang kemungkinan ini, dan pada masa yang sama membantu mereka memahami batasan dan mempelajari cara menggunakan AI secara bertanggungjawab.
“Gen AI ialah alat yang berguna, tetapi ia tidak boleh menggantikan pembelajaran atau pemikiran asal,” kata Cik Rahayu.
NLB juga akan menganjurkan satu siri acara “NLB30” untuk memperkasakan rakyat Singapura untuk membaca, belajar dan menemui bersama-sama pada 2025 sambil meraikan ulang tahunnya yang ke-30, tambahnya.
Untuk mendedahkan lebih ramai pelajar kepada GenAI, Cik Rahayu berkata program Code For Fun, yang ditawarkan kepada semua sekolah rendah dan menengah, juga akan menggabungkan AI untuk membolehkan pelajar yang mempunyai peluang hands-on untuk mempelajari teknologi AI.
Pelajar sekolah rendah akan diajar cara menggunakan platform Gen AI yang sesuai untuk menjana cerita dan imej untuk mencipta papan cerita digital, serta risiko Gen AI, seperti berat sebelah dan halusinasi dan keperluan untuk menyemak kandungan dijana AI terhadap sumber lain, tambahnya.
“Kira-kira 60 peratus sekolah rendah dan 40 peratus sekolah menengah akan memperkenalkan AI For Fun tahun ini.
“Adalah usaha kami untuk memastikan setiap orang, tanpa mengira umur, digalakkan untuk belajar, menggunakan dan berseronok dengan teknologi baru dengan cara yang termaklum dan bertanggungjawab,” kata Cik Rahayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg