Pelanggan Cold Storage dan Giant boleh menjangkakan barangan dengan harga lebih berbaloi serta lebih beraneka, dan cawangan-cawangan baru berikutan penjualan rangkaian pasar raya itu kepada kumpulan runcit Malaysia, Macrovalue.
DFI Retail Group, yang memiliki Cold Storage dan Giant di Singapura, pada 24 Mac mengumumkan bahawa ia akan menjual kesemua 48 cawangan Cold Storage dan 41 cawangan Giant, serta dua pusat pengedaran, kepada Macrovalue dengan harga $125 juta.
Jenama di bawah Cold Storage termasuk CS Fresh, CS Gold dan Jason’s Deli.
Bercakap kepada The Straits Times sejurus selepas perjanjian itu diumumkan, pemilik Macrovalue, Datuk Andrew Lim Tatt Keong, berkata pelanggan Cold Storage, yang menyasarkan pelanggan yang lebih mewah, tidak lama lagi boleh menjangkakan rangkaian barangan yang lebih luas, termasuk “barangan istimewa yang tidak ditawarkan oleh pasar raya lain”.
“Kami akan dapat menawarkan lebih banyak jenis barangan di Cold Storage, antara lain keju dan produk tenusu yang kini turut dijual secara runcit di pasar raya Mercato yang lebih mewah kami di Malaysia,” tambahnya.
Pelanggan Giant pula akan menikmati harga yang lebih baik bagi produk asas yang diimport dari Malaysia, seperti telur, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta barangan keperluan rumah lain.
“Kami mempunyai logistik dan rantaian bekalan menyeluruh di Malaysia yang boleh kami gunakan untuk manfaat pelanggan Singapura agar barangan kami lebih berbaloi bagi mereka,” kata Datuk Lim.
Pengguna di Singapura boleh melihat cawangan baru Giant dan Cold Storage dibuka di lokasi baru di seluruh pulau dalam tempoh setahun akan datang kerana Macrovalue beri fokus pada menstabilkan perniagaan itu sambil memastikan ia kekal menguntungkan.
“Kami akan berusaha menambah nilai melalui kepelbagaian, harga dan pengalaman pelanggan dalam tempoh setahun, kerana pasaran akan menjangkakannya,” kata Datuk Lim.
Tambahnya, antara perkara pertama yang dilakukan oleh Macrovalue selepas memuktamadkan urus niaga itu ialah bertemu tuan tanah dan pemilik hartanah yang diduduki cawangan-cawangan pasar raya itu.
“Kami mengadakan pertemuan dengan tuan tanah seperti CapitaLand untuk memperkenalkan diri kami kerana kami perlu bekerjasama dengan mereka dalam pengubahsuaian, pembesaran dan pembukaan kedai pada masa hadapan,” kata Datuk Lim.
Beliau menyatakan bahawa $125 juta yang dibayarnya merangkumi nilai jenama dan perniagaan Giant dan Cold Storage, dan tidak termasuk sebarang hartanah.
“Kami hanya membeli perniagaan itu, termasuk penyewaan dan pajakan, kerana DFI tidak memiliki sebarang hartanah di Singapura,” katanya.
DFI menjual dua hartanah terakhirnya di Singapura – lapan unit runcit strata pegangan bebas di Siglap V, dan unit runcit Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan Toa Payoh Central – dengan harga $48.5 juta pada April 2024, lapor The Business Times ketika itu.
“Jumlah yang kami bayar mencerminkan nilai perniagaan itu, dan harganya berpatutan dan rasional,” kata Datuk Lim, sambil menambah bahawa Macrovalue tidak akan mewarisi sebarang hutang atau liabiliti lain daripada pengambilalihan itu.
Beliau mengakui bahawa harga akhir sebanyak $125 juta melibatkan “rundingan keras”, memandangkan perjanjian itu juga dibuat selepas operasi pasar raya DFI di Singapura menjadi untung pada 2024 setelah beberapa tahun kerugian.
Namun, ketua pegawai eksekutif (CEO) DFI, Encik Scott Price, mendedahkan semasa taklimat keputusan syarikat itu pada 10 Mac bahawa walaupun ia telah kembali meraih keuntungan, DFI hanya menjangkakan hasil pendapatan pasar rayanya di Singapura kekal stabil di tengah-tengah persaingan yang sengit.
Di Singapura, Giant dan Cold Storage bersaing dengan FairPrice, yang mempunyai 164 cawangan, dan Sheng Siong dengan 77 cawangan.
Urus niaga itu dijangka selesai pada separuh kedua 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg