Pencalonan kini dibuka untuk Anugerah Enterprise 50 (E50) 2025, yang akan mengiktiraf 50 perniagaan milik swasta yang paling inovatif dan berdaya saing di Singapura.
Dianjurkan bersama akhbar The Business Times (BT) dan KPMG, anugerah tahunan itu bagi mengiktiraf syarikat-syarikat, tanpa mengira sektor, yang telah menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekonomi Singapura, di dalam dan di luar negara.
Anugerah E50 itu ditaja oleh OCBC dan disokong oleh Enterprise Singapore, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Singapore Exchange Group.
Anugerah itu memberi penghormatan kepada kecemerlangan dalam perusahaan, daya ketahanan dan kepimpinan yang berpandangan jauh.
Pemohon akan dinilai berdasarkan gabungan kriteria kuantitatif dan kualitatif, termasuk prestasi kewangan, strategi perniagaan, tadbir urus, penjenamaan dan potensi pertumbuhan.
Para pemenang akan dijemput menghadiri majlis anugerah E50 dan makan malam gala pada November.
Editor BT, Cik Chen Huifen, menggalakkan syarikat-syarikat menggunakan Anugerah E50 itu “sebagai saluran pendapat”, dengan pemohon dinilai oleh panel yang pelbagai.
Proses itu, tambahnya, juga boleh menjadi titik penting bagi kakitangan syarikat berusaha ke arah kecemerlangan.
“Seterusnya, kami berharap pemenang yang kami kenal pasti akan memberi inspirasi kepada usahawan dan perniagaan lain dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Singapura,” kata Cik Chen dalam satu kenyataan akhbar bersama BT dan KPMG di Singapura.
Inovasi bukan sekadar mendahului persaingan, kata Encik Chiu Wu Hong, rakan kongsi dan ketua perusahaan swasta di KPMG di Singapura.
“Ia mengenai membina perusahaan yang memimpin dengan tujuan, merebut peluang dan mencipta nilai luar biasa dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” katanya.
Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, perubahan yang berani dan cadangan nilai yang jelas adalah lebih kritikal untuk pertumbuhan yang mampan, tambahnya.
Tema Anugerah E50 2025 ialah ‘Membina Negara Berdaya Tahan: Perusahaan Sebagai Tunjang Kemajuan’.
Pada pelancaran anugerah itu pada 3 April, pengerusi kumpulan Eu Yan Sang International, Encik Richard Eu, menegaskan bahawa daya tahan sebenar akhirnya terletak pada kakitangan syarikat.
Eu Yan Sang tidak mengalami sebarang kesukaran mengekalkan kakitangan, dengan ada yang kekal bekerja selama lebih empat dekad walaupun terpaksa melalui proses penyesuaian secara berterusan dengan sistem dan amalan baru, katanya.
Sejak penubuhannya, Anugerah E50 telah memberi penghormatan kepada lebih 700 syarikat, yang mana lebih 100 daripadanya telah disenaraikan di pasaran saham tempatan dan luar negara.
Pemenang teratas boleh mengharapkan liputan media dan sokongan publisiti yang meluas, membantu mereka meningkatkan profil awam mereka dan membuka peluang perniagaan yang lebih besar.
BT juga menerbitkan suplemen E50 sempena Makan Malam Gala E50.
Syarikat yang berminat mempunyai masa sehingga 30 Jun untuk mengemukakan permohonan mereka.
Maklumat lanjut mengenai anugerah itu boleh didapati di laman web E50.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg