Kerjasama antara pemerintah dan perniagaan akan menjadi lebih penting di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, ketidakpastian ekonomi dan persekitaran luaran tidak menentu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Trend global sedemikian akan mempunyai kesan besar ke atas ekonomi negara, perniagaan dan rakyat, dan meskipun Singapura tidak dapat mengubah trend itu, negara ini boleh membentuk responsnya untuk menangani cabaran tersebut, tambah beliau.
Oleh itu, adalah penting Singapura terus mempertahankan asas ekonomi negara ini yang kukuh, termasuk persekitaran yang menyokong perniagaan dan kekal terbuka kepada pelaburan, perdagangan serta bakat.
Encik Wong berkata demikian di Simposium Belajawan Singapura 2025, yang dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dengan kerjasama DBS dan firma PwC, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, pada 19 Mac.
Beliau memberi amaran akan terdapat perubahan besar dalam susunan global, dengan dunia akan menjadi lebih seperti “hutan tanpa peraturan” dan mereka yang mempunyai kuasa dapat melakukan apa yang mereka mahu.
“Adalah penting kita merancang bukan hanya untuk menangani keprihatinan segera, bahkan berfikir bagi jangka panjang, bagaimana kita boleh memastikan Singapura kekal berdaya saing, apa yang kita boleh lakukan untuk mengharungi persekitaran mencabar ini.
“Itu sebabnya dalam Belanjawan, kami memperkenalkan langkah-langkah jangka panjang, termasuk prasarana kita dan juga perancangan bagi tenaga bersih, termasuk kemungkinan memanfaatkan kuasa nuklear maju di Singapura,” katanya, yang juga Menteri Kewangan.
Encik Wong turut menekankan keperluan memperkukuh perpaduan negara melalui kerjasama teguh rakan tiga pihak, menonjolkan kerjasama “cara Singapura” antara pemerintah, kesatuan sekerja dan perniagaan.
“Kerjasama ini akan menjadi lebih penting dari sebelumnya,” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang persaingan semakin tegang antara Amerika Syarikat dan China, sambil menambah bahawa Amerika melihat China sebagai ancaman strategik dan mahu mengelakkan ia mengambil kedudukan Amerika.
“China, bagi pihaknya, berkata ia bersedia respons. Bahkan, ia berkata ia bersedia untuk perang tarif, perang dagang atau sembarang perang, dan ia akan berjuang hingga ke penghujungnya,” kata Encik Wong.
Negara kuasa besar semakin menumpukan perhatian pada pertahanan dan keselamatan, dan Encik Wong berkata negara-negara itu semakin bersedia menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat mereka sekalipun ia mengorbankan negara lain, termasuk yang lebih kecil.
Di sebalik masalah global, beliau menekankan peranan penting yang dimainkan oleh perniagaan sebagai tulang belakang ekonomi Singapura dan komitmen pemerintah untuk menyokong mereka.
Ini dicerminkan dalam Belanjawan 2025, apabila tumpuan khas diberikan pada perniagaan, tambah Encik Wong.
Belanjawan 2025 memperkenalkan inisiatif yang bertujuan memperkukuh ekosistem perusahaan, antaranya bantuan kos segera melalui rebat cukai pendapatan korporat dan geran tunai, penyesuaian ke atas rangka kerja permit kerja, dan dana kredit privet untuk mempertingkat akses kepada modal.
Pemerintah juga sedang mempertingkat sokongan bagi transformasi perniagaan, latihan pekerja, dan akses kepada skim pemerintah untuk membantu syarikat kekal berdaya saing.
“Kami melakukannya kerana kami mahu mendengar anda, kami mahu mendekati anda, dan kami memandang serius maklum balas, idea dan saranan anda,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg