Syarikat pemula penjagaan kesihatan di Singapura boleh mendapat bantuan besar untuk terus bertahan sepanjang perjalanan panjang menuju pengkomersialan. 

Platform pembinaan usaha sama penjagaan kesihatan, Sante Accel Singapore, yang akan menyokong penubuhan dan pertumbuhan syarikat pemula sedemikian, telah dilancarkan sempena acara inovasi penjagaan kesihatan ‘Singapore Medical Device Venture Showcase’.

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara syarikat pelaburan penjagaan kesihatan dan sains hayat Amerika Syarikat, Sante Ventures, dengan SG Growth Capital, cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

“Kami sedang mengukuhkan akses kepada modal serta bakat pembinaan usaha sama kerana inovasi memerlukan kedua-duanya untuk meneruskan perjalanan panjang ujian klinikal dan kelulusan kawal selia sebelum sampai ke pasaran,” kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, yang mengumumkan kerjasama itu.

“Pengasas juga memerlukan mentor berpengalaman dan rangkaian global untuk membantu mereka berkembang.”

Pengarah urusan Sante Ventures, Encik Dennis McWilliams, berkata firma pelaburan itu yang menamatkan pusingan pembiayaan kelima bernilai AS$330 juta ($427 juta) pada Februari lalu, kini menguruskan AS$1.1 bilion merentasi lima dana, dan telah menubuhkan serta melabur dalam lebih 70 syarikat sains hayat sepanjang 20 tahun lalu.

Berucap pada acara itu yang diadakan pada 29 Jun di St Regis Singapore, Dr Tan berkata permintaan terhadap teknologi perubatan inovatif semakin meningkat.

Ini berikutan kemajuan teknologi yang membuka lebih banyak peluang bagi diagnosis awal dan rawatan yang lebih disesuaikan, serta penduduk yang semakin tua yang turut menambah tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan. 

Beliau berkata Singapura merupakan hab global yang terbukti buat inovasi bioperubatan, sambil menyatakan bahawa negara ini mempunyai lebih 400 syarikat medtech antarabangsa dan tempatan, yang menggajikan lebih 17,000 pekerja.

Selain itu, pengeluaran perkilangan medtech Singapura juga telah meningkat pesat sejak 2013, mencecah $20.3 bilion pada 2024, naik daripada $5.5 bilion. 

Beliau berkata Sante Accel Singapore akan membantu mengukuhkan akses kepada modal dan bakat pembinaan usaha sama.

“Platform baru ini akan membantu dan melabur dalam syarikat Singapura dalam sektor medtech, bioteknologi dan teknologi kesihatan, sambil membangunkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang pembinaan usaha sama,” tambah Dr Tan yang juga Menteri Tenaga Manusia. 

“Dengan menggabungkan kepakaran, dana permulaan serta rangkaian global Sante dengan kekuatan inovasi Singapura, perkongsian ini akan membantu mengukuhkan ekosistem inovasi penjagaan kesihatan kita serta menyokong lagi pembangunan syarikat Singapura yang berdaya saing di peringkat global.”

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Growth Capital, Encik Choo Heng Tong, yang menggambarkan kehadiran Sante di Republik itu sebagai bersifat jangka panjang, berkata: “Perkongsian ini menggambarkan keyakinan kukuh terhadap mutu inovasi yang muncul dari Singapura, dan terhadap peluang jangka panjang dalam sektor medtech kita.”

CEO Sante Accel, Cik Ashley Seehusen, berkata walaupun belum ada pelaburan dibuat, lawatan-lawatan sebelumnya ke Singapura membolehkan firma itu mengenal pasti “teknologi menarik” yang berpotensi untuk dimajukan lagi. 

Tanpa memberikan butiran lanjut, beliau berkata Sante menyasarkan untuk melabur “beberapa juta dolar” di Singapura, dengan matlamat membantu menubuhkan sekurang-kurangnya empat syarikat pemula dalam tempoh tiga tahun akan datang.