Firma pelaburan berpangkalan di Singapura, JD Properties, yang disokong oleh keluarga Jaleel yang terkemuka, kini memperluas empayar hospitalitinya di Australia.

Mereka telah memperoleh dua hotel di Perth dan Melbourne dengan pelaburan bernilai kira-kira A$100 juta ($91.6 juta).

Langkah strategik ini menyusuli pembelian hartanah di Brisbane bernilai A$34 juta enam bulan lalu, sekali gus mengukuhkan kehadiran kumpulan itu dalam sektor hospitaliti Australia, lapor Australian Financial Review (AFR) pada 2 Jun.

Dalam urus niaga yang telah dimuktamadkan, JD Properties membeli Hotel Pensione di Perth yang memiliki 98 bilik pada harga sekitar A$28.3 juta.

Aset tersebut dibeli daripada sindiket persendirian yang turut melibatkan Pengerusi Naos Asset Management, Encik Warwick Evans.

Secara berasingan, JD Properties turut memeterai perjanjian bernilai A$75 juta untuk mengambil alih Hotel Indigo di Flinders Lane, Melbourne.

Hotel butik yang dikendalikan oleh IHG Hotels & Resorts itu kini sedang dilupuskan oleh pengurus dana Pro-Invest Group, yang diasaskan bersama oleh Encik Ron Barrott dan Cik Sabine Schaffer.

Bagaimanapun, urus niaga di Melbourne itu masih dalam proses penyelesaian.

Langkah ini menyusuli kejayaan keluarga tersebut memperoleh Hotel George Williams di Brisbane pada akhir 2025 dengan nilai A$34 juta, yang kini dikenali sebagai George Hotel Brisbane.

Aset strategik ini dijangka meraih manfaat daripada lonjakan sektor hospitaliti menjelang Sukan Olimpik Brisbane 2032.

Empayar perniagaan keluarga Jaleel diasaskan oleh Mohamed Abdul Jaleel, yang menubuhkan Jaleel Family Trust kira-kira setengah abad lalu.

Terkenal di Singapura atas sumbangan dalam sektor hartanah, logistik, dan kerja amal, keluarga ini kini menguruskan pelaburan hospitaliti dan hartanah menerusi JD Properties serta cabang khusus mereka, High Street Holdings.