Pelaburan bukan lagi urusan yang mudah dalam ketidaktentuan dunia hari ini kerana pertindihan yang semakin ketara antara keselamatan, geopolitik, perniagaan dan kewangan, kata Pengerusi Temasek Holdings, Encik Teo Chee Hean.

Landskap pelaburan global kini menghadapi pergolakan besar yang dicirikan oleh “perang hangat” serta tarif perdagangan yang memberikan kesan langsung kepada pasaran pelaburan utama Temasek. 

Bagi menghadapi realiti mencabar ini, syarikat pelaburan Singapura itu perlu melihat menjangkaui “pergolakan” jangka pendek bagi mencari nilai pelaburan jangka panjang yang mampan, menurut beliau.

Berkongsi pengamatannya sejak menerajui syarikat itu pada Oktober 2025 dalam satu sidang berita di pejabat Temasek di Orchard Road pada 2 Jun, Encik Teo yang mengambil alih jawatan pengerusi daripada Encik Lim Boon Heng berkata: 

“Pelaburan kini bukan lagi sekadar mengira angka di atas hamparan helaian kerja (spreadsheet) atau menganalisis kitaran ekonomi semata-mata.”

Bagi mengemudi persekitaran pelaburan yang kian rumit, Temasek telah menyusun semula tumpuan struktur organisasinya kepada tiga tonggak jelas yang merangkumi portfolio syarikat berpangkalan di Singapura, pelaburan global, dan perkongsian.

Agihan aset syarikat kini dibahagikan mengikut anggaran nisbah 40 peratus masing-masing bagi pelaburan dalam portfolio syarikat Singapura dan pelaburan global manakala 20 peratus bagi perkongsian. 

Pendekatan ini diambil untuk memastikan keseimbangan antara aspek pertumbuhan dengan daya tahan portfolio keseluruhan, terangnya. 

Encik Teo berkata meskipun dengan ketidaktentuan global, Temasek akan terus meninjau peluang pelaburan dalam beberapa trend sekular seperti kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan, kelestarian, serta bidang baharu dalam permintaan pengguna.

Sehingga 31 Mac 2025, nilai portfolio bersih Temasek mencapai $434 bilion, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan ekoran prestasi kukuh pelbagai syarikat dalam portfolio Temasek yang disenaraikan di Singapura, serta pelaburan langsung di China, Amerika Syarikat dan India.

Mengenai iklim pelaburan hari ini, beliau yang juga Penasihat Kanan di Pejabat Perdana Menteri, berkata isu keselamatan kini semakin kerap ditimbulkan dalam perbincangan ekonomi. 

“Di Davos (Forum Ekonomi Dunia Davos), kami pernah membincangkan isu ekonomi, isu kewangan, isu perniagaan… Tahun ini saya menghadiri Davos selepas selang beberapa tahun, dan kami membincangkan isu keselamatan, bukan isu ekonomi. 

“Jadi persimpangan antara keselamatan, geopolitik, perniagaan dan kewangan menjadi lebih jelas. Dan ini telah memberi kesan kepada pasaran utama tempat kami melabur dan segmen utama tempat kami melabur,” ujarnya. 

Beliau memberi contoh, syarikat portfolio yang terlibat dalam pengangkutan dan perjalanan telah terkesan oleh apa yang berlaku di rantau Teluk, seperti harga bahan api melonjak, kecenderungan orang ramai untuk mengembara dan aliran barangan. 

“Oleh itu, kita perlu sedar tentang apa yang berlaku dan mengambil kira perkara tersebut apabila kita melabur,” kata Encik Teo. 

Beliau berkata ekoran keadaan ini, beberapa sektor seperti teknologi telah menjadi sensitif. 

“Mereka yang mempunyai teknologi, atau sumber, ingin menyimpannya dan menggunakannya sebagai leveraj. 

“Jadi, pelaburan bukan lagi sesuatu mudah yang melibatkan perkiraan dan menganalisis kitaran ekonomi sahaja serta keadaan kewangan sesebuah syarikat. 

“Seseorang perlu mengambil kira peristiwa geopolitik yang sedang berlaku dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada syarikat. Dan kadangkala ia berlaku secara tiba-tiba dan mempunyai kesan yang besar,” terang beliau sambil menambah pengalaman lalu selaku Menteri Pertahanan telah banyak membantunya dalam menjalankan peranan barunya itu. 

Kata beliau lagi, Temasek bersikap sangat ke hadapan dalam pelaburan teknologi AI yang disifatkannya sebagai mampu mengubah keadaan yang sebenar.

Namun, beliau menegaskan pelaburan dalam AI harus dinilai bersama risiko geopolitik bagi mengelakkan syarikat daripada terjejas akibat perubahan dasar yang mendadak.

Ini sebabnya selain melabur dalam model bahasa besar atau large language model (LLM) - sejenis program AI dilatih memahami, memproses dan menjana bahasa manusia - Temasek turut menerokai aplikasi praktikal AI dalam pelbagai sektor termasuk robotik.

Selain AI, sektor penjagaan kesihatan khususnya bidang penemuan ubat-ubatan baharu serta tenaga boleh diperbaharui kekal menjadi tema pelaburan sekular Temasek.

Di India dan Eropah, Temasek terus melabur dalam tenaga mesra alam yang kini disifatkan bukan sahaja penting untuk kelestarian iklim, malah untuk membina daya tahan tenaga negara.

Menyentuh tentang pasaran China, Encik Teo menjelaskan saiz portfolio pelaburan Temasek di negara itu terus meningkat walaupun peratusannya dalam keseluruhan portfolio global kelihatan menyusut.

Temasek kini beralih daripada pelaburan tradisional sektor perbankan di China kepada peluang baharu seperti aplikasi AI, penemuan ubat-ubatan, dan sektor pengguna generasi baharu, tambahnya.

Sejak memegang peranan itu, Encik Teo berkata beliau telah melawat hampir kesemua 13 pejabat global Temasek bagi memahami dinamika pasaran tempatan secara lebih dekat.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan pembukaan pejabat baharu, beliau berkata memandangkan Temasek sudah mempunyai pelaburan di Timur Tengah, maka ia sedang meneliti peluang untuk menubuhkan cawangan di sana bagi memanfaat pertumbuhan pesat di sana.

Buat masa ini, Temasek memiliki beberapa pelaburan di Timur Tengah menerusi portfolio syarikatnya seperti ST Engineering dan Surbana Jurong. Baru-baru ini, ia menjalin kerjasama dengan firma Global Infrastructure Partners (GIP) dan dana kekayaan terkini Abu Dhabi, L’IMAD serta syarikat minyak ADNOC untuk menjalankan projek prasarana di rantau itu.

Beliau berpandangan meskipun kestabilan rantau itu telah terganggu namun ia mempunyai banyak sumber dan bercita-cita tinggi serta semakin mempunyai kemampuan untuk mencapainya.

“Kami yakin ini sesuatu yang boleh dimanfaatkan dan disumbang oleh syarikat portfolio kami. Jadi kami sedang meneliti apa yang boleh diterokai. Kami bersedia untuk mengambil langkah jika ada peluang,” jelas Encik Teo.

Buat masa ini, Temasek menggajikan sekitar 1,000 kakitangan di pejabat globalnya dan tidak merancang sebarang peningkatan ketara dalam bilangan pekerja dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Encik Teo melahirkan rasa gembira dengan kelakonan kabinet baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong. 

“Dari masa ke semasa ada orang akan mendekati saya di luar dan melahirkan kelegaan dan keyakinan yang kita mempunyai kestabilan politik, sesuatu yang kita tidak boleh ambil ringan, memandangkan apa yang sedang berlaku di dunia,” terangnya.  

Tambah beliau lagi, sebagai warga negara, kita harus sedar dan fahami yang kita adalah masyarakat yang rapuh.

“Kita harus faham yang kita semua adalah masyarakat yang rapuh. Jika kita lupakan ini, bahayalah kita. Tetapi jika kita faham hal ini, kita akan bekerja keras untuk mengatasi kelemahan dalam masyarakat dan bekerjasama,” tambahnya.

“Di Davos (Forum Ekonomi Dunia Davos), kami pernah membincangkan isu ekonomi, isu kewangan, isu perniagaan… Tahun ini saya menghadiri Davos selepas selang beberapa tahun, dan kami membincangkan isu keselamatan, bukan isu ekonomi. Jadi persimpangan antara keselamatan, geopolitik, perniagaan dan kewangan menjadi lebih jelas. Dan ini telah memberi kesan kepada pasaran utama tempat kami melabur dan segmen utama tempat kami melabur.”
Pengerusi Temasek Holdings, Encik Teo Chee Hean.

“Mereka yang mempunyai teknologi, atau sumber, ingin menyimpannya dan menggunakannya sebagai leveraj. Jadi, pelaburan bukan lagi sesuatu mudah yang melibatkan perkiraan dan menganalisis kitaran ekonomi sahaja serta keadaan kewangan sesebuah syarikat. Seseorang perlu mengambil kira peristiwa geopolitik yang sedang berlaku dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada syarikat. Dan kadangkala ia berlaku secara tiba-tiba dan mempunyai kesan yang besar.”
Pengerusi Temasek Holdings, Encik Teo Chee Hean.