Niaga
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Hampir separuh firma S’pura akan salur kos tarif kepada pelanggan

Apr 3, 2025 | 4:33 PM
Hampir tujuh daripada 10 syarikat yang ditinjau berkata mereka jangkakan tarif baru itu memberi kesan negatif ketara atau sederhana ke atas operasi mereka.
Hampir tujuh daripada 10 syarikat yang ditinjau berkata mereka jangkakan tarif baru itu memberi kesan negatif ketara atau sederhana ke atas operasi mereka. - Foto ZAOBAO

Hampir separuh, atau 45 peratus, syarikat yang ditinjau di Singapura merancang salurkan kenaikan kos daripada tarif baru yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada pelanggan mereka, menurut satu tinjauan kilat oleh Dewan Perniagaan Amerika (AmCham) di Singapura.

Firma lain pula merancang mempelbagaikan rantaian bekalan mereka bagi mengurangkan pergantungan mereka kepada pasaran bertarif tinggi, atau dengan merebut peluang memperoleh bahagian pasaran daripada pesaing yang lebih lambat menyesuaikan diri, kata AmCham Singapore pada 2 April.

Lebih dua pertiga daripada 36 responden berkata tarif timbal balik sebagai keprihatinan utama untuk perniagaan mereka, melebihi langkah perdagangan sedia ada, lapor The Business Times.

Hampir tujuh daripada 10 (69 peratus) berkata mereka jangkakan tarif baru itu memberi kesan negatif ketara atau sederhana ke atas operasi mereka.

Dapatan tinjauan itu diperoleh menjelang pengumuman yang dijangkakan dari Rumah Putih pada 2 April di Washington, yang memperincikan tarif timbal balik menyeluruh ke atas rakan dagangan Amerika, dengan beban paling berat menimpa ekonomi Asia.

Import Singapura ke Amerika akan dikenakan tarif 10 peratus ke atas semua barangan yang masuk ke Amerika dari mana-mana sahaja di dunia.

Import daripada kira-kira 60 rakan dagang yang disifatkan oleh Rumah Putih sebagai “pesalah paling teruk” menghadapi kadar lebih tinggi.

Dalam tinjauan AmCham itu, kira-kira 20 peratus responden berkata mereka percaya bahawa langkah itu tidak akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Encik Frank Debets, ketua kastam dan perdagangan Asia Pasifik di PwC Singapore, tidak bersetuju.

Beliau berkata adalah “mengejutkan” jika syarikat yang melaporkan tiada impak ke atas mereka, terlindung sepenuhnya daripada kesan tindak balas berantai.

Sebagai contoh, katanya, pembekal dan pelanggan syarikat itu mungkin terjejas, seterusnya menjejas keupayaan mereka untuk membeli atau menjual produk atau perkhidmatan, atau mereka mungkin terperangkap oleh tindak balas di tempat lain.

“Adalah bijak bagi sesiapa yang percaya tarif itu tidak memberi kesan kepada mereka, melakukan usaha wajar bagi memastikan kepercayaan mereka itu berasas,” tambahnya.

Tinjauan kilat itu dikendalikan bersama oleh AmCham Singapore, BowerGroupAsia Singapore dan PwC Singapore.

Maklum balas itu telah dikumpulkan antara 3 dengan 10 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg