Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nilai niaga baru AIA S’pore naik 15% kepada AS$454j pada 2024

Mar 14, 2025 | 3:51 PM
Cik Wong Sze Keed, ketua pegawai eksekutif (CEO) AIA Singapore, menarik perhatian kepada prestasi perniagaan syarikat yang kukuh merentasi jumlah pendapatan premium berwajaran dan keuntungan operasi selepas cukai pada 2024.
Cik Wong Sze Keed, ketua pegawai eksekutif (CEO) AIA Singapore, menarik perhatian kepada prestasi perniagaan syarikat yang kukuh merentasi jumlah pendapatan premium berwajaran dan keuntungan operasi selepas cukai pada 2024. - Foto AIA SINGAPORE

Nilai perniagaan baru (VONB) AIA Singapore meningkat 15 peratus tahun ke tahun kepada AS$454 juta ($606 juta) bagi tahun penuh berakhir 31 Disember 2024, daripada AS$394 juta pada 2023, berdasarkan kadar tukaran asing tetap.

Ini berlaku di tengah-tengah pertumbuhan dua angka kededua saluran syarikat itu, iaitu agensi dan pengedaran rakan kongsi, kata AIA dalam satu pengumuman pendapatan pada 14 Mac.

Saluran pengedaran AIA Singapore termasuk pasukan agensinya dan Penasihat Kewangan AIA.

Ia berkata: “Tumpuan strategik kami merebut peluang kekayaan yang semakin meningkat di Singapura menyumbang kepada pertumbuhan sangat kukuh dalam jualan produk simpanan jangka panjang.”

Walaupun peralihan campuran produk itu menyumbang kepada margin VONB yang lebih rendah sebanyak 50.5 peratus bagi setahun penuh itu, ini diimbangi oleh pertumbuhan premium baru tahunan (ANP), menghasilkan VONB lebih tinggi pada keseluruhannya.

ANP, yang digunakan untuk mengukur jualan perniagaan baru, meningkat 52 peratus tahun ke tahun kepada AS$897 juta.

Cik Wong Sze Keed, ketua pegawai eksekutif (CEO) AIA Singapore, menarik perhatian kepada prestasi perniagaan kukuh merentas jumlah pendapatan premium berwajaran (TWPI) dan keuntungan operasi selepas cukai (OPAT) pada 2024, lapor The Business Times (BT).

TWPI, pengukur jumlah perniagaan jangka panjang syarikat insurans itu, meningkat 13 peratus kepada AS$4.4 bilion. OPAT meningkat 1 peratus kepada AS$669 juta.

AIA berkata: “Pertumbuhan perniagaan kebanyakannya diimbangi oleh pendapatan pelaburan lebih rendah pada lebihan aset disebabkan oleh peningkatan kiriman wang untuk menyokong program pembelian balik saham AIA Group, serta pengalaman tuntutan bukan perubatan positif yang lebih rendah berbanding 2023.”

Cik Wong mengesahkan perniagaan AIA di Singapura “berada pada kedudukan baik untuk meraih peluang pertumbuhan jangka panjang merentasi segmen golongan mewah dan yang bernilai tinggi”.

Pada peringkat kumpulan, AIA mencatatkan peningkatan 18 peratus dalam VONB untuk tahun penuh 2024 kepada AS$4.7 bilion, berdasarkan kadar tukaran asing tetap.

Margin VONB-nya meningkat 1.9 mata peratusan pada 54.5 peratus, manakala ANP meningkat 14 peratus kepada AS$8.6 bilion. OPAT meningkat 7 peratus kepada AS$6.6 bilion.

Ini diterjemahkan kepada pendapatan operasi sesaham sebanyak AS$0.5970, meningkat 12 peratus daripada AS$0.5394 sebelumnya.

Lembaganya mencadangkan dividen akhir sebanyak HK$1.3098 ($0.23) sesaham, meningkat daripada HK$1.1907 sebelumnya.

Kumpulan itu berkata ia akan memulakan pembelian balik saham baru AS$1.6 bilion, selaras dengan dasar pengurusan modalnya yang dipertingkatkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg