Syarikat pelaburan Singapura, Temasek, melaporkan Nilai Portfolio Bersih (NPV) sebanyak $389 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.
Ini merupakan peningkatan $7 bilion dari tahun sebelumnya.
NPV menjadi $420 bilion, meningkat $9 bilion dari tahun sebelumnya, setelah mengambil kira nilai ‘mark-to-market’ (MTM) portfolio tidak tersenarai Temasek.
Ini merupakan kali pertama syarikat pelaburan tersebut melaporkan NPV MTM “agar lebih selaras dengan amalan pasaran”.
MTM adalah kaedah perakaunan yang digunakan untuk mengukur nilai wajar akaun sesebuah portfolio berdasarkan harga pasaran semasa.
Portfolio tidak tersenarai Temasek juga telah berkembang dengan mantap daripada 20 peratus pada 2004 kepada 52 peratus sehingga 31 Mac 2024.
Dalam ukuran prestasi portfolio jangka panjang, kadar pulangan pemegang saham keseluruhan (TSR) 20 tahun mencapai 7 peratus, manakala TSR 10 tahun kekal pada 6 peratus bagi tahun kedua berturut-turut.
TSR 20 tahun jatuh daripada 9 peratus setahun lalu kepada 7 peratus pada tahun kewangan berakhir Mac 2024 kerana ia tidak termasuk pemulihan pasca-Sars pada 2004 apabila pulangan melonjak 20 peratus.
Pada pelancaran Temasek Review pada 9 Julai, Ketua Perkhidmatan Kewangan Temasek International, Cik Connie Chan, menjelaskan syarikat tersebut terus mengekalkan kadar pelaburan yang berhati-hati tetapi stabil di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi sejagat.
Temasek melabur $26 bilion ke dalam peluang dalam sektor seperti teknologi, perkhidmatan kewangan, kemampanan, pengguna dan penjagaan kesihatan.
Ia juga melakukan penarikan dana sebanyak $33 bilion bagi tahun kewangan lalu, sebanyak $10 bilion adalah disebabkan pembayaran balik bon oleh Singapore Airlines dan penebusan saham keutamaan oleh Pavilion Energy.
Ini mengakibatkan pelucutan bersih $7 bilion, berbanding pelaburan bersih $4 bilion pada tahun kewangan 2023.
Hari ini, perkhidmatan kewangan serta pengangkutan dan perindustrian kekal sebagai dua sektor terbesar yang dilaburkannya.
Pelaburan Temasek adalah dalam gabungan aset tersenarai dan tidak tersenarai, dengan aset tidak tersenarai menyumbang 52 peratus daripada portfolio dan aset tersenarai membentuk baki 48 peratus.
Dalam pada itu, buat kali pertama juga, Temasek telah melancarkan Laporan Kemampanannya pada 2024.
Laporan tersebut mendedahkan portfolio pelaburan bernilai $44 bilion bagi syarikat yang produk dan perkhidmatan mereka berusaha memenuhi matlamat alam sekitar dan sosial.
Ini termasuk dalam sektor pertumbuhan masa hadapan dan model perniagaan dalam bidang tumpuan seperti air, makanan, sisa, pengangkutan bersih dan tenaga.
Portfolio itu terdiri daripada $38 bilion dalam pelaburan tertumpu kepada kemampanan dan $6 bilion dalam pelaburan peralihan iklim.
Pelaburan terbarunya termasuk syarikat kenderaan elektrik, Mahindra Electric Automobile, di India, dan BYD di China, penyedia penyelesaian bateri mampan, Ascend Elements, dan pengeluar elektroliser Electric Hydrogen, kedua-duanya di Amerika Syarikat.
Temasek juga berkata setakat ini, ia telah mengurangkan pelepasan karbon bersih yang dikaitkan dengan portfolionya sebanyak 5 peratus dari paras 2010.
Menjelang 2030, syarikat itu berharap dapat mengurangkan separuh dari paras 2010 kepada 11 juta tan setara karbon dioksida (MtCO2e) dan berazam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg