Topik diikuti
Pergi ke BHkuNilai portfolio Temasek naik $49b capai rekod tertinggi $518b
Nilai portfolio Temasek naik $49b capai rekod tertinggi $518b
Berikan pulangan pemegang saham 6.8% bagi tempoh 20 tahun
Nilai portfolio Temasek naik $49b capai rekod tertinggi $518b
Nilai portfolio bersih Temasek mencecah rekod tertinggi baru sebanyak $518 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, umum syarikat tersebut pada 8 Julai.
Syarikat pelaburan Singapura itu berkata ia terus memberikan pulangan jangka panjang yang berdaya tahan, dengan catatan kadar pulangan pemegang saham tahunan keseluruhan sebanyak 6.8 peratus bagi tempoh 20 tahun.
Rekod tersebut dicatatkan meskipun nilai portfolio bersihnya terjejas sebanyak 2 peratus ekoran konflik di Timur Tengah yang meletus pada penghujung Februari.
Namun, Presiden Temasek Global Investments (TGI), Encik Nagi Hamiyeh, berkata Temasek tidak mempunyai begitu banyak pendedahan langsung kepada pasaran Timur Tengah.
Kira-kira 12 peratus daripada portfolionya melibatkan rantau Eropah, Timur Tengah dan Afrika, dengan sebahagian besarnya tertumpu di Eropah, dedah Encik Hamiyeh.
Meskipun Temasek mempunyai beberapa pelaburan dana di Timur Tengah, konflik tersebut secara umumnya menjejas pasaran Eropah menerusi gangguan rantaian bekalan tenaga, menyusuli penutupan laluan Selat Hormuz yang merupakan saluran utama perkapalan minyak dan gas sejagat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TGI, Encik Chia Song Hwee, berkata Temasek mula meneliti pasaran Timur Tengah dengan lebih mendalam sejak dua hingga tiga tahun lalu, bermula dengan pelaburan dana.
“Kami percaya bahawa pemacu ekonomi asas di sana kukuh, dan kami juga percaya ia mampan,” katanya, sambil menambah bahawa pembaharuan dasar di Timur Tengah telah berkembang dengan agak baik, meskipun buat masa ini ia terganggu oleh perang antara Amerika Syarikat dengan Iran.
“Peperangan ini juga telah mewujudkan peluang pelaburan kerana prasarana sedia ada perlu diperbaharui.
“Malah yang lebih penting, prasarana baharu perlu dibina bagi menangani isu daya tahan rantaian bekalan, termasuk sektor eksport,” jelas beliau.
Temasek baru-benar ini mengumumkan kerjasama dengan perbadanan dana kekayaan kerajaan Abu Dhabi, L’IMAD, manakala cabang pengurusan aset Temasek, Seviora, telah membuka pejabat Timur Tengah pertamanya di Abu Dhabi pada 2025.
Secara keseluruhan, Temasek berjaya meningkatkan nilai portfolio bersihnya sebanyak $49 bilion dalam tempoh setahun lalu.
Peningkatan tersebut dipacu oleh prestasi kukuh syarikat di bawah portfolio Temasek yang berpangkalan di Singapura, sekali gus membolehkannya melepasi paras $500 bilion dalam nilai mengikut harga pasaran semasa atau ‘mark-to-market value’.
Temasek turut mencatat kadar pulangan pemegang saham keseluruhan sebanyak 10.5 peratus bagi tempoh setahun.
Syarikat itu menambah bahawa berdasarkan nilai dolar Amerika, pulangan tersebut mencecah 14.8 peratus, didorong oleh pengukuhan nilai dolar Singapura berbanding mata wang asing lain.
Dalam rakaman ucapan kepada media, CEO Temasek, Encik Dilhan Pillay, berkata beliau menjangkakan kejutan geopolitik akan berterusan.
Justeru, penting bagi Temasek untuk membina portfolio bermutu yang mampu “bangkit semula” daripada kejutan sedemikian, sekali gus mengekalkan prestasi berdaya tahan pada masa akan datang.
Beliau berkata Temasek akan mengenal pasti peluang pelaburan yang permintaannya disokong oleh trend struktur jangka panjang, di mana “modal jangka panjang seperti milik Temasek mampu menambah nilai”.
Sepanjang tahun kewangan tersebut, Temasek telah membuat pelaburan $51 bilion dan melepaskan pegangan sebanyak $31 bilion.
Syarikat di bawah portfolio Temasek yang berpangkalan di Singapura – yang buat masa ini merangkumi 43 peratus daripada portfolio keseluruhannya – mencatatkan kadar pulangan dalaman sebanyak 8.1 peratus bagi tempoh 10 tahun lalu.
Temasek berkata ia bertindak sebagai pemilik aktif dalam syarikat tersebut dan telah bekerjasama dengan mereka untuk membuka potensi nilai pelaburan yang lebih besar.
