NTUC bantu pekerja 2 firma teknologi S’pura dek bayaran gaji tertunggak
NTUC bantu pekerja 2 firma teknologi S’pura dek bayaran gaji tertunggak
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sedang memberi sokongan kepada beberapa anggota kesatuan yang terjejas dengan bayaran gaji tertunggak di syarikat teknologi tempatan, OTSAW Digital, dan anak syarikatnya, OTSAW Swisslog Healthcare Robotics, sementara siasatan pihak berkuasa masih dijalankan.
Kedua-dua syarikat itu bukan syarikat berkesatuan, namun sebahagian pekerja terjejas merupakan anggota Kesatuan Sekerja Pekerja Perkilangan Maju (Ameu) dan Tech Talent Assembly – kedua-duanya merupakan kesatuan di bawah NTUC, katanya dalam satu kenyataan media pada 10 Februari.
NTUC juga kini sedang membantu anggota yang terjejas dengan tunggakan gaji dan tuntutan bayaran balik yang masih belum dilunaskan oleh kedua-dua syarikat berkenaan.
Ini termasuk dengan memberi sokongan nasihat serta membantu mereka memfailkan kes dengan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM).
“Gagal membayar gaji atau membayar lewat merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang pekerjaan dan hak pekerja,” kata NTUC, sambil menambah bahawa berdasarkan maklumat daripada anggotanya, sebahagian pembayaran gaji telah dibuat.
NTUC menggesa syarikat berkenaan agar melunaskan bayaran tuntutan yang masih tertunggak.
Kedua-dua syarikat yang terletak di kawasan Tampines North itu dilaporkan gagal membayar gaji sekurang-kurangnya 28 pekerja.
Beberapa pekerja memberitahu media bahawa pihak syarikat telah berulang kali berjanji sepanjang separuh kedua 2025 dan memasuki Januari 2026 bahawa gaji tertunggak serta caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka akan dilunaskan.
Menurut mereka, terdapat segelintir pekerja yang tidak menerima gaji dan caruman CPF selama lebih enam bulan.
Setakat 9 Februari, TADM telah menerima 28 tuntutan yang difailkan terhadap OTSAW Digital dan OTSAW Swisslog Healthcare Robotics, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Lembaga CPF (CPFB) dan TADM dalam satu kenyataan bersama.
Sejak itu, syarikat-syarikat berkenaan telah melunaskan bayaran gaji 16 pekerja dan TADM akan terus membantu baki pekerja menuntut gaji mereka.
MOM sedang menjalankan siasatan ke atas syarikat-syarikat itu bagi kemungkinan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan.
CPFB telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat-syarikat berkenaan, dengan kes tersebut dihadapkan ke mahkamah.
Sebahagian tunggakan CPF telah dibayar dan lembaga itu akan terus menuntut baki yang masih belum dilunaskan.
Pada sesi perbicaraan mahkamah terakhir pada 4 Februari, OTSAW Digital diberi lanjutan empat minggu sehingga 11 Mac oleh Mahkamah Negara selepas memohon lebih masa untuk membayar gaji yang tertunggak.
Menurut carian di Bizfile Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), status kedua-dua OTSAW Digital dan OTSAW Swisslog Healthcare Robotics kekal ‘aktif’ setakat 11 Februari.
Tiada laporan bahawa mana-mana syarikat telah memberhentikan pekerja atas sebab berkenaan, dan beberapa pekerja dilaporkan terus bekerja di syarikat berkenaan meskipun bayaran gaji mereka belum dilunaskan.
NTUC dalam satu kenyataan pada 10 Februari, berkata:
“Walaupun sesetengah pekerja memilih untuk memahami dan memberi kepercayaan kepada majikan, terutama majikan yang sebelum ini bersikap adil tetapi kini menghadapi masalah perniagaan, situasi sedemikian perlu ditangani dengan berhati-hati kerana menangguhkan tindakan boleh menyukarkan proses mendapatkan semula gaji.”
NTUC menggesa pekerja yang berdepan gaji tertunggak atau pembayaran lewat supaya mendapatkan bantuan lebih awal dan membawa kes mereka kepada NTUC atau kesatuan masing-masing.

