Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NWC saran pekerja bergaji rendah diberi kenaikan gaji antara 5.5% dan 7.5%

Nov 11, 2025 | 7:22 PM
(Dari kiri) Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, Presiden NTUC K. Thanaletchimi, Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Tan Hee Teck, pengerusi NWC, Encik Peter Seah, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Ng Chee Khern dan naib presiden SNEF Encik Kuah Boon Wee.
(Dari kiri) Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, Presiden NTUC K. Thanaletchimi, Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Tan Hee Teck, pengerusi NWC, Encik Peter Seah, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Ng Chee Khern dan naib presiden SNEF Encik Kuah Boon Wee. - Foto ST

Majikan yang mempunyai pekerja berpendapatan rendah dengan gaji bulanan sehingga $2,700 digalakkan memberi mereka kenaikan gaji antara 5.5 hingga 7.5 peratus, kata Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) pada 11 November dalam garis panduan tahunan mengenai gaji dan isu pekerjaan.

Majikan yang perniagaannya mencapai prestasi baik disarankan memberi pekerja bergaji rendah kenaikan gaji minimum antara $105 hingga $125, meskipun jumlah tersebut mungkin melebihi peratusan yang diusulkan, menurut NWC.

Bagi majikan yang mencatatkan prestasi kurang baik, NWC menyarankan supaya mereka memberi kenaikan gaji pada peringkat paling bawah peratusan yang ditetapkan.

Namun, mereka harus mempertimbangkan kenaikan gaji selanjutnya jika prospek perniagaan bertambah baik.

Saranan itu mengambil kira unjuran ekonomi semasa serta pertumbuhan pendapatan median tahunan sebanyak 4.2 peratus antara 2016 dengan 2024, menurut NWC.

Setiap industri berdepan cabaran berbeza, dengan sektor seperti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta sektor makanan dan minuman (F&B), ketika ini ketinggalan dari segi daya penghasilan, kata Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Ng Chee Khern.

“Sektor-sektor ini perlu terus melaksanakan perubahan pada perniagaan bagi meningkatkan daya saing dan daya penghasilan. Ini penting bagi memastikan pertumbuhan gaji pekerja mereka,” katanya.

NWC menyarankan agar majikan mengamalkan sistem gaji fleksibel bagi mengekalkan fleksibiliti gaji apabila perniagaan berdepan dengan masalah.

Langkah ini dapat membantu syarikat mengekalkan kelangsungan operasi dengan mengurangkan kos, tanpa perlu memberhentikan pekerja. 

Ia juga membolehkan majikan mengekalkan bakat dan membuat penyesuaian gaji dengan pantas apabila keadaan ekonomi kembali pulih.

NWC turut menggesa semua majikan yang belum berbuat demikian supaya melaksanakan sistem ini sepenuhnya, meliputi kedua-dua komponen tahunan dan bulanan yang berubah.

Lebih 70 peratus majikan mengamalkan salah satu komponen tersebut dalam sistem gaji fleksibel mereka, meskipun peratusannya menurun sedikit berbanding 77.3 peratus pada 2023 dan 76 peratus pada 2024, lapor The Straits Times (ST).

Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Tan Hee Teck, menekankan bahawa fleksibiliti gaji bukan sahaja sesuatu yang baik untuk diamalkan, malah sesuatu yang penting.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik K. Thanaletchimi, menambah:

“Syarikat perlu berlaku adil dan memberi pengiktirafan kepada (sumbangan) pekerja berdasarkan prestasi syarikat dan berkongsi hasil daya penghasilan syarikat. 

“Ini amat penting bagi meningkatkan motivasi dan semangat pekerja supaya mereka terus menyumbang kepada kesejahteraan syarikat.”

Garis panduan tahunan mengenai gaji dan isu pekerjaan ini bertujuan merapatkan jurang gaji antara pekerja berpendapatan rendah dan sederhana.

Pemerintah telah menerima garis panduan ini, namun tidak mewajibkan pelaksanaannya.

Garis panduan ini berkuat kuasa dari 1 Disember 2025 hingga 30 November 2026, dan meliputi semua pekerja di syarikat yang bersekutu atau tidak bersekutu dengan kesatuan sekerja, serta di kedua-dua sektor awam dan swasta.

Pada sidang media yang diadakan di pejabat MOM pada 11 November, pengerusi NWC, Encik Peter Seah, berkata meskipun pelaksanaan garis panduan tahunan itu tidak wajib, kebanyakan syarikat tetap memberi perhatian kepada garis panduan ini.

Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, berkata garis panduan ini memainkan peranan dalam perbincangan atau rundingan mengenai kenaikan gaji, dan boleh mempengaruhi hala tuju proses pengantaraan sekiranya sesuatu kes dibawa ke MOM.

Pada 2024, 26.2 peratus syarikat mengikut saranan kenaikan gaji yang disarankan oleh NWC bagi pekerja berpendapatan rendah, manakala 60 peratus syarikat memberi kenaikan gaji dalam sebarang jumlah kepada pekerja berpendapatan rendah mereka.

“Syarikat perlu berlaku adil dan memberi pengiktirafan kepada (sumbangan) pekerja berdasarkan prestasi syarikat dan berkongsi hasil daya penghasilan syarikat. Ini amat penting bagi meningkatkan motivasi dan semangat pekerja supaya mereka terus menyumbang kepada kesejahteraan syarikat.”
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik K. Thanaletchimi.

“Sektor-sektor (khidmat pentadbiran, sokongan, F&B) perlu terus melaksanakan perubahan pada perniagaan bagi meningkatkan daya saing dan daya penghasilan. Ini penting bagi memastikan pertumbuhan gaji pekerja mereka.”
Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Ng Chee Khern.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg