Pegawai keselamatan sepenuh masa dalaman atau in-house di Singapura akan menerima kenaikan gaji tahunan sebanyak $160 selama tiga tahun akan datang, iaitu kenaikan sehingga 6.9 peratus setahun bagi pegawai yang paling junior.
Kira-kira 1,500 pegawai keselamatan sepenuh masa dalaman di Singapura akan mendapat manfaat daripada langkah ini, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan bersama pada 30 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Langkah ini diambil selepas pemerintah menerima cadangan daripada Kelompok Tiga Pihak bagi Keselamatan (STC) mengenai Model Gaji Progresif (PWM) Keselamatan.
Mulai 1 Januari 2026, gaji bulanan bagi pegawai tahap permulaan akan meningkat kepada sekurang-kurangnya $2,475, naik daripada paras asas semasa iaitu $2,315.
Paras asas ini akan terus meningkat setiap tahun, mencapai $2,795 menjelang 2028 – walaupun gaji PWM pada Januari 2028 mungkin disesuaikan sekiranya keadaan ekonomi bertambah baik.
Bagi pegawai keselamatan dalaman yang memegang jawatan kanan dan penyelia, mereka akan meraih kenaikan gaji tahunan sebanyak 6.4 peratus dalam tiga tahun akan datang.
Namun, bagi penyelia keselamatan kanan yang gajinya sudah melebihi 20 peratus terendah, gaji mereka akan ditentukan oleh pasaran, kata kementerian-kementerian tersebut.
Kenaikan gaji yang dicadangkan itu disarankan oleh STC, sebuah kumpulan kerja yang terdiri daripada wakil-wakil pemerintah, kesatuan sekerja, persatuan industri, majikan dan pembeli perkhidmatan.
Pegawai keselamatan separuh masa dalaman, yang bekerja kurang daripada 35 jam seminggu, juga akan menerima manfaat daripada kenaikan gaji itu. Gaji kasar mereka setiap jam akan dikira secara prorata berdasarkan minggu kerja 44 jam.
Sejak Januari 2024, PWM Keselamatan telah menyediakan tangga gaji yang berasingan untuk pegawai keselamatan dalaman, kerana waktu kerja mereka secara amnya lebih pendek berbanding rakan-rakan mereka yang bekerja di agensi keselamatan luar.
Pegawai keselamatan dalaman biasanya juga menerima manfaat lain seperti makanan percuma.
PWM Keselamatan pertama kali dilaksanakan pada 2016 untuk meningkatkan gaji dan melaksanakan keperluan latihan bagi pegawai keselamatan yang merupakan rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg