Daripada tanah paya yang terkenal sebagai kampung nelayan dengan ladang babi hingga ke bandar maju yang bakal bergelar Daerah Perusahaan Pertama Singapura, Punggol telah menyaksikan perubahan yang begitu ketara sepanjang dekad-dekad lalu.
Kawasan kejiranan di daerah timur laut Singapura itu bakal menempatkan Daerah Digital Punggol seluas 50 hektar yang memberi tumpuan terhadap sektor pertumbuhan utama yang memacu ekonomi digital seperti keselamatan siber dan Internet Benda (IoT).
Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, berkata Punggol telah berkembang dengan sangat pesat sepanjang beberapa tahun lalu dan kini terdiri daripada ramai keluarga berbilang generasi serta kemudahan baru.
“Daerah digital baru tersebut akan membawa kemeriahan kampus universiti, serta banyak pekerjaan baru, ke nadi bandar. Terdapat juga lebih banyak kemudahan, termasuk pusat pertukaran bas baru serta pusat penjaja.
“Sedang kami membangunkan bandar dengan kemudahan tersebut, kami juga meneruskan usaha untuk mendekati penduduk dengan, dan memelihara, warisan serta sejarah bandar tersebut. Ada di antaranya boleh dilihat dalam pameran di Perpustakaan Daerah Punggol, dan kami akan memelihara Punggol Road lama sebagai jejak warisan yang boleh dilewati dengan berjalan kaki,” ujarnya, yang juga Anggota Parlimen bagi Punggol Coast.
Mengimbau kembali perjalanan Punggol, pengkaji warisan, Encik Sarafian Salleh, berkata bandar tersebut unik kerana ia sebenarnya antara bandar satelit pertama di Singapura pada era 1800-an.
Ini setelah jalan raya pertama yang dibina merentas pulau Singapura menghubungkan Punggol ke kawasan bandar lain di Singapura seperti ke daerah Telok Belangah dan Kampong Bugis.
“Jalan raya pertama yang dibina oleh kerajaan koloni mahkota Britain iaitu Serangoon Road, berhubung ke Sungai Serangoon sebelum dihubungkan ke Punggol Point. Temenggong Wan Abu Bakar (sultan pertama Johor) menggunakan jalan raya ini untuk ke Tanjung Puteri bagi membuka Johor Bahru.
“Laluan ini menjadi jalan raya yang banyak digunakan bukan sahaja oleh pedagang dan warga tempatan, malah Sultan Johor juga.
“Dari situ, terlahirlah bandar satelit pertama yang terdiri daripada Serangoon dan Punggol sekitar 1850-an,” kongsinya.
Encik Sarafian berkata bahawa pembinaan jalan raya menandakan bahawa perniagaan berjalan rancak dan Punggol merupakan antara bandar yang pesat berkembang pada era 1800-an.
Namun, kadar pembangunannya menjadi semakin lembap sedang bandar lain pula mula membangun, tambah Encik Sarafian.
Justeru, sebagai seseorang yang membesar di daerah Upper Serangoon Road dan meluangkan zaman persekolahan di Sekolah Rendah Monfort di Punggol, beliau meluahkan rasa gembira bahawa bandar tersebut kini diberi perhatian dengan perkembangan pesat sedang berlaku.
Encik Sarafian berkata: “Saya masih ingat bau, bunyi dan kekecohan di sana.
“Apabila saya berada di dalam bilik darjah pada waktu pagi, saya boleh hidu bau ikan yang menusuk hidung, dan sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari apabila sedang panas terik, saya dapat hidu kandang babi. Jadi walaupun saya pejam mata tanpa jam tangan, saya tahu waktunya kerana bau sangat kuat dari kawasan Punggol.”
Berdasarkan maklumat yang diterbitkan di laman Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), nama ‘Poongul’ tertera dalam peta Singapura pada 1820-an.
Walaupun tidak mungkin Wak Sumang (lelaki yang mengasaskan Kampong Wak Sumang, kampung nelayan terawal di Singapura) sahaja yang memberikan Punggol namanya, kisah tentang pertemuannya dengan punggur terus diulang-ulang.
Perkataan punggur merujuk kepada batang kayu mati dan datang daripada perkataan pokok dan gugur.
Ada yang kata bahawa batang pokok yang ditebang berada di Punggol sebelum ketibaan Sumang, manakala yang lain mendakwa bahawa dahan pokok yang patah jatuh di rumah Sumang.
Cerita lain mendakwa bahawa Sumang melihat punggur terapung di Sungai Punggol, memberi inspirasi kepadanya untuk menamakan kampungnya dan sungai itu dengan nama itu.
Versi lucu asal usul nama ‘Ponggol’ dalam buku Tok Sumang melibatkan salah faham antara budaya.
Kononnya, Sumang sedang menebang batang (punggur) pokok rumbia (juga dipanggil pokok sagu) apabila dihampiri seorang lelaki berkulit putih dan jurubahasa Indianya.
“Sir, tunggu saya di rumah saya, kerana saya akan kembali seketika. Saya sudah hampir selesai menebang punggor Rumbia ini,” kata Tok Sumang sambil mengarahkan ibu jarinya ke arah rumahnya.
Tok Sumang tidak dapat memahami penjelasan jurubahasa itu kepada lelaki berkulit putih tersebut, tetapi mendengar lelaki berkulit putih itu berulang kali kata “Ponggor… Ponggol…”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg