Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OCBC benarkan pelanggan S’pura imbas, bayar guna kod QR di China

Dec 1, 2025 | 7:09 PM
Pengguna aplikasi OCBC akan dapat mengimbas kod QR Weixin Pay (WeChat Pay) dan membuat pembayaran kepada pedagang di China menjelang suku pertama 2026.
Pengguna aplikasi OCBC akan dapat mengimbas kod QR Weixin Pay (WeChat Pay) dan membuat pembayaran kepada pedagang di China menjelang suku pertama 2026. - Foto ST

OCBC akan menjadi bank Singapura pertama yang membolehkan pelanggan mengimbas dan membuat pembayaran kepada semua jenis kod QR di China menerusi aplikasi mudah alih Singapura mereka.

Ini bermakna pengguna OCBC kini boleh membayar menggunakan kod QR kepada pedagang yang menerima Weixin Pay (WeChat Pay), Alipay+ atau UnionPay.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna Global OCBC, Encik Sunny Quek, berkata pembayaran menggunakan kod QR sudah lama menjadi kebiasaan di China dan ciri baru itu membolehkan rakyat Singapura “membuat bayaran seperti penduduk tempatan”.

“Pembayaran QR merupakan amalan biasa di China dan telah digunakan sejak sekian lama.

“Selain di China, ciri Scan & Pay (Imbas & Bayar) kami beroperasi dengan rangkaian pembayaran QR di 48 negara, sekali gus menawarkan liputan pembayaran QR yang luas kepada para pengguna aplikasi OCBC,” tambah beliau.

Dalam kenyataan pada 1 Disember, OCBC berkata kemampuan baru ini dijangka siap pada awal 2026 dan merupakan hasil peluasan kerjasama bersama penyedia khidmat kewangan China, UnionPay International, yang dimeterai di Shanghai pada 28 November.

Langkah ini dijangka memudahkan pelanggan OCBC yang melancong ke China, sebuah pasaran di mana pembayaran tanpa tunai berasaskan QR mendominasi urusan harian, kata OCBC.

Ini termasuk bayaran bagi pengangkutan, barangan runcit, utiliti, bil perubatan dan restoran.

Lantas, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR pedagang dan pembayaran akan dipotong langsung daripada akaun OCBC Singapura mereka.

Justeru, tiada keperluan menukar mata wang atau memuat turun aplikasi tambahan, sambil menikmati kadar pertukaran masa nyata yang berdaya saing tanpa caj tambahan.

Menurut OCBC, penggunaan ciri Scan & Pay telah meningkat secara ketara dengan jumlah pembayaran naik 11 peratus setiap tahun dan pengguna aktif meningkat 67 peratus.

Tambah mereka, China kini menjadi destinasi paling popular untuk pembayaran QR oleh pelanggan OCBC.

Ini seiring dengan lonjakan besar dalam ketibaan pengunjung dari Singapura ke China yang telah meningkat lebih seganda pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg