Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus mendapat sambutan positif daripada pelabur antarabangsa apabila Kerajaan Johor memeterai kerjasama strategik bersama dua pemain utama dari rantau Asia – OCBC Group dan syarikat teknologi Jepun, NEOJAPAN Inc.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi OCBC membuka peluang besar bagi memperkukuh ekosistem pembiayaan, pelaburan dan pengembangan industri di kawasan JS-SEZ.
“Sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Asia Tenggara dengan aset melebihi AS$468 bilion ($597 bilion), OCBC menyatakan komitmen untuk menyokong pelaburan dalam JS-SEZ dan menjadi jambatan menghubungkan Johor dengan pelabur serta industri sejagat,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Jun.
OCBC juga merancang mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan baru di Johor, khususnya kepada lulusan peringkat tinggi tempatan dengan gaji permulaan antara RM3,200 ($965) hingga RM3,600 – sejajar dengan aspirasi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Datuk Onn Hafiz berkata kepakaran OCBC dalam pembiayaan rentas sempadan, pengurusan kekayaan serta transformasi digital menjadikannya rakan strategik penting dalam melonjakkan Johor sebagai hab pelaburan yang menghubungkan Asean dan China.
“Sokongan OCBC dalam sektor logistik, pengilangan, prasarana dan ekonomi digital bakal memperkukuh keupayaan JS-SEZ sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh dan berdaya saing,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut mengadakan pertemuan bersama delegasi NEOJAPAN Inc., sebuah syarikat teknologi terkemuka dari Jepun yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Kerajaan Johor semasa Forum Nikkei Medini 2025.
NEOJAPAN Inc. yang berpangkalan di Yokohama dan tersenarai di Bursa Saham Tokyo, kini merancang menubuhkan Center of Excellence (CoE) di Johor bagi menyokong transformasi ekonomi digital negeri.
“Kerjasama itu bakal menjana sehingga 300 pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji permulaan RM4,000, selain melatih lebih 1,000 lulusan tempatan dalam tempoh lima tahun melalui kerjasama bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun,” jelasnya.
Datuk Onn Hafiz menegaskan bahawa gabungan pelaburan asing bermutu tinggi dengan pengembangan bakat tempatan adalah kunci kepada kejayaan JS-SEZ sebagai model pembangunan ekonomi mampan.
“Inilah pendekatan Johor – menarik pelaburan berimpak tinggi, memperkasa tenaga kerja tempatan dan membina ekosistem ekonomi yang menyeluruh serta bertaraf antarabangsa. Insya-Allah, Johor akan muncul sebagai destinasi pelaburan utama di Asean,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg