Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OCBC tawar $900j untuk peroleh baki 6.28% saham Great Eastern

Tawaran dibuat atas permintaan syarikat insurans, dijangka tamatkan penggantungan dagangan saham 11 bulan
Jun 6, 2025 | 4:58 PM
OCBC, great eastern, beli saham
OCBC menyatakan bahawa harga tawaran tersebut adalah muktamad, dan ia tidak mempunyai sebarang rancangan mengemukakan tawaran baru dalam masa terdekat.  - Foto REUTERS

OCBC menawarkan $900 juta untuk membeli sebahagian saham syarikat insurans Great Eastern yang belum dimilikinya.

Di bawah tawaran keluar bersyarat yang diumumkan pada 6 Jun, OCBC menawarkan $30.15 sesaham bagi 6.28 peratus saham syarikat insurans tersebut.

Menurut OCBC, tawaran tersebut yang dibuat “atas permintaan Great Eastern”, dijangka menamatkan penggantungan dagangan saham syarikat itu yang selama 11 bulan, sambil “memberi pemegang saham pilihan keluar pada harga yang adil dan berpatutan”.

Penasihat kewangan bebas (IFA) kepada perjanjian tersebut, EY, menyatakan bahawa tawaran tersebut adil dan berpatutan, lapor The Business Times (BT).

Tawaran tersebut dibuat beberapa bulan selepas OCBC mula membuat tawaran am secara sukarela tanpa syarat, sebanyak $1.4 bilion bagi baki 11.56 peratus kepentingan dalam Great Eastern yang belum dimilikinya, dengan tujuan menyahsenarai syarikat insurans itu daripada bursa.

OCBC sebelum ini menyatakan bahawa harga tawarannya yang terdahulu sebanyak $25.60 sesaham adalah muktamad.

Tawaran keluar terbaru OCBC itu adalah bersyarat, satu resolusi untuk mengeluarkan Great Eastern daripada bursa perlu mendapat sokongan pemegang saham yang mewakili sekurang-kurangnya 75 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat itu.

Resolusi tersebut dijangka dibentangkan oleh syarikat insurans itu dalam satu mesyuarat agung tergempar.

OCBC tidak akan dibenarkan mengundi bagi resolusi tersebut.

Jika resolusi tersebut diluluskan, Great Eastern akan dinyahsenarai daripada Bursa Singapura (SGX) dan pemegang saham yang menerima tawaran tersebut akan mendapat bayaran mengikut harga yang ditetapkan.

Pemegang saham yang tidak menerima tawaran tersebut pula akan terus memiliki saham dalam syarikat insurans itu, meskipun ia tidak lagi tersenarai di bursa.

OCBC menyatakan bahawa harga tawaran tersebut adalah muktamad dan ia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengemukakan tawaran baru dalam masa terdekat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg