Syarikat kecil dan sederhana (SME) Singapura berjaya meneruskan momentum pertumbuhan mereka berturut-turut dari suku kedua hingga suku ketiga 2024, menurut Indeks SME OCBC yang dikeluarkan pada 15 Oktober.
Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan menyeluruh dalam hampir semua industri, dengan industri pengilangan kembali tumbuh selepas penguncupan lima suku berturut-turut.
Menurut The Business Times (BT), indeks yang dikeluarkan setiap suku tahun itu menjejaki tahap ‘kesihatan’ perniagaan dan prestasi SME.
Ia disusun menggunakan data transaksi lebih daripada 100,000 pelanggan SME OCBC di Singapura, masing-masing dengan pendapatan tahunan sehingga $30 juta.
Suku ketiga 2024 mencatatkan bacaan indeks 50.8 – satu peningkatan daripada 50.2 pada suku kedua. Bacaan melebihi 50 menandakan aktiviti perniagaan meningkat berbanding tahun lalu, manakala bacaan di bawah 50 menunjukkan penguncupan dalam perniagaan.
Pada suku ketiga, kutipan SME meningkat sebanyak 0.4 peratus dari tahun ke tahun, manakala pembayaran meningkat sebanyak 0.3 peratus, mencerminkan peningkatan sederhana dalam kos operasi.
Daripada 11 industri yang dijejaki, hanya industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mengalami penguncupan, peningkatan daripada tujuh industri yang didapati berkembang pada suku kedua.
Industri pengilangan mendapati peningkatan indeksnya naik daripada 49.9 pada suku kedua, kepada 50.4 pada suku ketiga, didorong oleh peningkatan 9.8 peratus dari tahun ke tahun dalam kutipan. Bagaimanapun, ia diganggu oleh kenaikan 6.8 peratus dalam pembayaran.
Kutipan dan pembayaran luar negara juga melonjak, masing-masing meningkat sebanyak 25.5 peratus dan 40 peratus, berbanding tempoh yang sama pada 2023.
“Meski terdapat pemulihan dalam permintaan elektronik global, dan peningkatan dalam sentimen perniagaan dan keluaran kilang memberi petanda baik bagi SME dalam industri, kami masih menunggu untuk melihat sama ada pertumbuhan boleh dikekalkan dalam jangka masa terdekat,” kata OCBC.
Industri dalam negara, seperti makanan dan minuman (F&B), penjagaan kesihatan, peruncitan dan pendidikan, terus “menunjukkan aktiviti perniagaan yang sihat”.
Pada suku ketiga, kededua perkhidmatan perniagaan, dan industri bangunan dan pembinaan kembali tumbuh, selepas penguncupan sebelum ini.
Perkhidmatan perniagaan menyaksikan indeksnya meningkat kepada 50.6, didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen pengiklanan dan pameran, serta perakaunan dan undang-undang.
Industri ICT, bagaimanapun, mencatatkan penguncupan buat sembilan suku berturut-turut, dengan bacaan indeks merosot kepada 48.7 pada suku ketiga.
Walaupun perundingan IT, dan pembuatan dan jualan ICT, merekodkan bacaan pertumbuhan sebanyak 50.2 dan 50.5, keseluruhan industri itu menguncup akibat kelemahan dalam pemprosesan data dan segmen pembangunan perisian, yang mencatatkan bacaan 48.1.
Memandang ke hadapan, indeks SME dijangka terus tumbuh sedikit pada suku keempat, disokong oleh pemulihan dalam permintaan elektronik global dan prospek pemotongan kadar faedah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg