Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), tidak lama lagi, boleh memanfaatkan pejabat baru untuk mendapatkan sokongan dalam mengemudi peraturan pemerintah, terutama berkaitan isu baru atau yang merentas sektor.
Pejabat Pro-Enterprise SME (PEO) baru, yang ditubuhkan di bawah Enterprise Singapore (EnterpriseSG), dijangka dilancarkan pada suku pertama 2025.
Pejabat baru itu akan mempunyai tiga fungsi utama, yang meliputi “tiga T: triage, track and treat (saringan, trek dan huraian)”, kata Menteri Negara Kanan, Perdagangan dan Perusahaan, Cik Low Yen Ling, pada 23 September.
Ia bukan sahaja akan menyusun dan mengarahkan maklum balas kawal selia perniagaan kepada agensi pemerintah yang berkaitan untuk semakan dan jawapan, malah mewujudkan dan menjejaki piawaian perkhidmatan pemerintah mengenai isu kawal selia.
Pejabat itu juga akan memantau hasil penyelesaian kes dan menganalisis maklum balas.
Ia dilakukan untuk mengenal pasti isu kawal selia sistemik untuk semakan dan penyelesaian awal, lapor The Business Times (BT).
Ini akan membolehkan pemerintah meningkatkan keberkesanan kawal selia, seperti penyelarasan antara agensi yang lebih baik dan masa proses lebih pendek bagi permohonan dan kelulusan kawal selia, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan EnterpriseSG dalam satu kenyataan media.
Memetik contoh proses kawal selia biasa yang boleh dipertingkatkan, mereka menambah bahawa kelulusan antara agensi secara berurutan untuk perkara berkaitan pelesenan boleh mengambil masa yang lama.
Ini menyebabkan kelewatan dan menambah kos operasi. Keperluan kawal selia yang kompleks boleh menyebabkan penyerahan permohonan yang salah atau tidak lengkap.
Pejabat baru itu akan melengkapkan kerja agensi kawal selia pemerintah yang lain, yang akan terus mengendalikan kes kawal selia yang mudah dan khusus untuk agensi mereka.
Ini akan dilakukan melalui talian atau saluran maklum balas mereka sendiri, kata MTI dan EnterpriseSG.
Satu perikatan bagi daya saing perniagaan yang ditubuhkan awal 2024 menyatakan bahawa pemerintah boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong perniagaan dalam mengemudi keperluan kawal selia.
Pada Rapat Hari Kebangsaan 2024, Perdana Menteri Lawrence Wong turut bercakap tentang meminimumkan beban kawal selia, untuk membantu perniagaan membuat inovasi dan mengurus kos di tengah-tengah persaingan sejagat yang semakin meningkat.
Pengumuman PEO SME itu dibuat selepas jawatankuasa antara kementerian dibentuk pada April, untuk mengkaji isu-isu dan mengurangkan kos pematuhan.
Langkah itu bertujuan membantu SME kekal berdaya saing dan memanfaatkan peluang perniagaan baru.
“Landskap operasi perniagaan, termasuk keperluan kawal selia yang berkaitan, telah berkembang sejak beberapa tahun dan menjadi lebih kompleks,” kata pengarah urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo.
PEO SME akan menjadi “unit penyelaras pusat” bagi menangani kebimbangan itu, sambil bekerjasama dengan agensi lain untuk meningkatkan keberkesanan kawal selia dan mengenal pasti isu kompleks berpotensi lain yang mungkin menghalang pertumbuhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg