SYDNEY: Firma telekomunikasi Australia, Optus, yang juga anak syarikat Singtel, mengalami satu lagi gangguan pada 28 September, menjejaskan panggilan kecemasan.
Gangguan itu berlaku ketika delegasi daripada syarikat induk Singtel mengunjungi Australia minggu ini untuk bertemu Menteri Komunikasi, Cik Anika Wells, menyusuli beberapa gangguan lain sebelum ini.
Meskipun masalah tersebut telah diselesaikan, Optus masih menyiasat punca gangguan yang melibatkan tapak menara telefon mudah alih di kawasan Dapto, New South Wales, kata seorang jurucakap.
Masalah terbaru itu menjejas sekitar 4,500 pelanggan, serta panggilan yang dibuat antara 3 pagi dengan 12.20 tengah hari, termasuk beberapa panggilan kecemasan.
Optus “mengesahkan dengan polis bahawa semua pemanggil yang cuba menghubungi perkhidmatan kecemasan berada dalam keadaan selamat.
“Kami memohon maaf kepada mana-mana pelanggan yang terjejas,” kata jurucakap syarikat itu.
Menteri Kewangan Australia, Cik Katy Gallagher, memberitahu penyiar nasional ABC bahawa gangguan pada 28 September itu adalah sesuatu yang “mengecewakan selepas gangguan besar yang berlaku minggu sebelumnya”.
“Saya rasa ada beberapa persoalan yang perlu Optus jawab mengenai apa yang berlaku dalam dua minggu lalu dan respons mereka terhadapnya,” kata Cik Gallagher.
Saham Singtel merosot ketika pasaran saham Singapura dibuka pada 29 September, jatuh sehingga 3.8 peratus kepada $4.10 – penurunan paling ketara sejak 13 Mei.
Pada rehat dagangan tengah hari, saham itu mencatatkan kejatuhan 2.8 peratus, atau 12 sen, kepada $4.14.
Ia merupakan saham paling aktif diniagakan mengikut nilai, dengan 28.3 juta saham bertukar tangan.
Gangguan itu merupakan isu rangkaian terkini dalam siri masalah yang telah menimbulkan kemarahan rakyat Australia.
Ia juga menjejas reputasi syarikat pengendali telefon kedua terbesar Australia itu, yang menyumbang separuh daripada pendapatan syarikat induknya, Singtel.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Singtel, Encik Yuen Kuan Moon, akan menghadiri pertemuan dengan Cik Wells di Sydney minggu ini, bersama CEO Optus, Encik Stephen Rue, dan pengerusi syarikat itu, Encik John Arthur.
Gangguan rangkaian Optus pada 18 September telah menghalang pelanggan daripada menghubungi perkhidmatan kecemasan, hingga mengakibatkan kematian tiga orang.
Menyusuli kesan serius tersebut, Optus berkemungkinan menghadapi penalti kewangan yang besar.
Gangguan itu menjejaskan sekitar 600 pelanggan di Australia Selatan, Australia Barat dan Wilayah Utara buat sekurang-kurangnya 10 jam.
Masalah itu berlaku kurang daripada dua tahun selepas insiden serupa yang menjejaskan jutaan pelanggan dan membawa kepada denda A$12 juta ($10 juta) serta menyebabkan pemecatan mantan CEO Optus, Cik Kelly Bayer Rosmarin.
Optus juga telah mengumumkan perincian mengenai semakan bebas yang akan menyiasat siri kejadian tersebut dan menentukan punca kegagalan penyambungan panggilan kecemasan.
Syarikat itu didenda A$66 juta pada akhir September kerana menjual produk yang pelanggan tidak perlukan atau mahukan antara 2019 dengan 2023, yang telah menyebabkan ramai pelanggan menanggung hutang.
Singtel berkata bahawa ia telah menyokong Optus dengan melabur lebih daripada A$9.3 bilion dalam tempoh lima tahun lalu, dengan sebahagian besar dana digunakan untuk membina prasarana rangkaian di seluruh Australia. – Agensi berita, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg