Pelabur Singapura bakal mendapat lebih banyak peluang melabur dalam pasaran hartanah Jepun menerusi kerjasama cabang agensi hartanah di bawah Realion Group, OrangeTee, dengan salah satu agensi hartanah terbesar di Jepun, Tokyu Livable.
Kerjasama itu membolehkan pelabur yang berpangkalan di Singapura mengakses portfolio eksklusif Tokyu Livable yang merangkumi hartanah kediaman dan pelaburan, melalui OrangeTee.
Hartanah itu termasuk apartmen ‘premium’ yang telah diubah suai di kawasan pinggir bandar raya seperti Nakameguro dan Kichijoji di Tokyo; kondominium baru di kawasan tumpuan seperti Shinjuku dan Shibuya; serta kediaman pelaburan baru di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi seperti Minato, Chiyoda dan Tokyo Bay.
Meskipun OrangeTee ketika ini lebih tertumpu kepada pelabur kediaman dan runcit, syarikat itu pada 21 Ogos berkata kerjasama dengan Tokyu Livable turut akan menyokong pelanggan yang meneroka segmen aset strategik lain, termasuk layanan tamu, pembangunan butik dan aset komersial di bandar utama seperti Tokyo dan Kyoto.
Langkah itu khususnya melibatkan pelanggan institusi serta perniagaan-ke-perniagaan (B2B) di Singapura dan rantau ini, tambahnya.
Bagi membantu pelanggan lebih memahami pasaran hartanah Jepun, OrangeTee akan menyediakan sokongan menyeluruh, termasuk lawatan ke hartanah terpilih, sesi perundingan peribadi dan kemas kini pasaran secara berkala, lapor The Business Times (BT).
“Peluang hartanah yang ditawarkan melalui proses pemilihan teliti serta dilengkapi pilihan untuk lawatan fizikal sebelum urus niaga dijalankan,” jelas OrangeTee dalam satu kenyataan.
Sehingga 21 Ogos, terdapat empat penyenaraian kediaman di Jepun di laman web OrangeTee.
Ini termasuk unit satu bilik tidur pegangan bebas, atau freehold seluas 576 kaki persegi di kawasan Asakusa, Tokyo, berharga sekitar 69.8 juta yen ($607,570); dan unit dua bilik tidur pegangan bebas seluas 593 kaki persegi di Yokohama, berharga sekitar 83.8 juta yen.
Pengarah OrangeTee International, Encik Steven Tan, berkata hartanah Jepun menarik minat pelabur kerana pulangannya yang stabil, akses pembiayaan lebih mudah serta permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman bermutu.
“Paling penting, dengan menyokong (akses eksklusif pelabur ke portfolio Tokyu Livable) melalui perundingan peribadi, pandangan tempatan secara langsung dan sokongan urus niaga yang lancar, kami menjadikan pelaburan hartanah di Jepun lebih mudah diakses daripada sebelum ini,” tambahnya.
Sepanjang dekad lalu, bahagian B2B OrangeTee di Jepun telah melaksanakan urus niaga bernilai lebih 50 bilion yen merangkumi sektor kediaman, pejabat, hotel, penempatan warga emas, asrama dan tanah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OrangeTee, Encik Justin Quek, yang juga Timbalan CEO Kumpulan Realion, menambah bahawa langkah terkini itu adalah sebahagian daripada matlamat kumpulan untuk membangunkan wadah perkhidmatan hartanah serantau yang bersepadu.
“Jepun merupakan pasaran utama dalam strategi pertumbuhan kami, dan (langkah) memperkukuh hubungan dengan Tokyu Livable meningkatkan keupayaan kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan institusi dan runcit merentas pelbagai segmen aset,” katanya.
Satu seminar pelaburan akan diadakan pada 24 Ogos bagi membuka tirai pelancaran kerjasama itu, dengan pasukan perunding OrangeTee berkongsi pandangan pasaran dan peluang pelaburan di Jepun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg