Syarikat hartanah setempat, OrangeTee & Tie Pte Ltd, telah menaikkan pangkat Timbalan Ketua Eksekutifnya, Encik Justin Quek, untuk menerajui firma itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru.
Perlantikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2024, menurut kenyataan syarikat berkenaan pada 19 Disember.
Encik Quek menggantikan Encik Steven Tan, yang telah memainkan peranan penting dalam agensi hartanah itu selama lebih 20 tahun.
Pada 2021, Encik Tan telah dilantik sebagai CEO, daripada jawatannya sebagai Pengarah Urusan sebelum itu, berikutan penyusunan semula syarikat tersebut, lapor The Business Times (BT).
Beliau akan kekal sebagai Pegawai Eksekutif Utama (KEO) dan mengambil peranan lebih aktif di peringkat antarabangsa dalam kumpulan hartanah itu, yang kini berusaha menjadi penyedia perkhidmatan hartanah lengkap, dan pada masa sama, mencapai pertumbuhan seterusnya.
Syarikat lain dalam kumpulan itu termasuk OrangeTee Advisory dan OrangeTee International.
“Penggantian (pemimpin) yang dirancang dengan baik di OrangeTee akan mempercepat kemajuan strategi kami sambil memastikan kejayaan yang dapat dikekalkan bagi semua pemegang kepentingan,” kata agensi itu.
Ia menambah bahawa pengetahuan dan pengalaman luas Encik Tan amat berharga sedang ia mendekati pemegang saham lamanya, Tokyu Livable, sebuah syarikat hartanah di Jepun, bersama beberapa rakan kongsi utama lain di peringkat sejagat, untuk mencapai pertumbuhan antarabangsa.
Encik Quek pula mempunyai pengalaman selama dua dekad sebagai ejen hartanah, usahawan teknologi hartanah dan dalam pengurusan strategik.
Sejak memegang jawatan sebagai Timbalan CEO pada April 2023, beliau telah mengetuai pelbagai inisiatif seperti sesi ‘Consumer Insider Series’ untuk pelanggan, dan perkhidmatan Luxe by OrangeTee, yang membantu ejen hartanah melayani pelanggan bernilai tinggi dengan lebih baik, kata agensi itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg