Gabungan dua acara pameran, Halal Expo dan The Wedding Asia (TWA), bakal memeriahkan Singapore Expo Hall 5B dari 12 hingga 14 September 2025 dengan lebih 160 gerai pameran, tawaran eksklusif, dan pelbagai kegiatan menarik.
Penganjur acara, MegaXpress International Pte Ltd, berkata tema taman bertropika atau Tropical Eden dipilih untuk memberi nafas segar kepada pameran 2025.
“Tema ini memberi peluang kepada vendor untuk tampil lebih kreatif dalam mengetengahkan produk mereka dan mewujudkan suasana tropika moden yang sesuai dengan cita rasa masyarakat hari ini,” kata Pengarah Projek MegaXpress, Cik Reny Delfina.
Menurut beliau, pameran yang tidak mengenakan bayaran untuk masuk itu, menghimpunkan vendor perkahwinan dan produk halal di bawah satu bumbung.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk perancang perkahwinan, butik pengantin, jurusolek, perhiasan, fotografi, videografi, serta pembekal kad jemputan dan kek.
Selain itu, pameran tersebut turut menampilkan rangkaian produk makanan halal, aksesori, kraf tangan, produk kecantikan, serta perhiasan rumah daripada vendor tempatan dan Malaysia.
Sorotan Acara
Acara tiga hari itu dijangka meriah dengan pelbagai program hiburan, pertandingan dan sesi interaktif.
Persembahan Artis Popular: Ifa Raziah, Datuk Adi Putra, Ayu Damit, dan ramai lagi akan menghiburkan pengunjung sepanjang hujung minggu.
Pertandingan Sri Pengantin Plus 2025: Ruang untuk bakal mempelai mempamerkan kreativiti busana dan gaya pada 13 September.
‘Ms Singapore Indonesia’ – Peringkat Akhir: Pertandingan ratu cantik yang dinanti-nantikan pada 14 September.
Peraduan Karaoke Solo Lagu-Lagu 60-an: Mengimbau nostalgia lagu klasik tempatan.
Persembahan Kesenian ‘Telung Turonggo Arts’: Mempersembahkan kebudayaan tradisional Jawa. Kegiatan interaktif seperti Snap, Tag, Share Your Favourite Booth & Win dan Guess, Spin & Win dengan hadiah menarik.
Tawaran Istimewa dan Cabutan Bertuah
Pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya $100 layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama termasuk sewa ruang ballroom bernilai $5,000 (tajaan Glass House BeachFront); pakej fotografi & videografi perkahwinan bernilai $3,000 (tajaan Studio Five Weddings); dan sewaan gaun pengantin bernilai $1,500 (tajaan BridesByFanurly)
Untuk pendaftaran awal ke pameran, bakal mempelai akan menerima buah tangan, Chocolate Doorgift, bernilai $6 untuk 50 pasangan pertama setiap hari.
Dalam kegiatan, RSVP & Win, pasangan mempelai turut berpeluang memenangi jambangan bunga pengantin bernilai $120. Semua hadiah itu ditaja oleh Ben Dasuki.
Vendor baru seperti Wardah At Stevens, Wedding+, The Acacia @ Geneo, dan De Villa bakal memperkenalkan pakej dan koleksi eksklusif.
Program kemasyarakatan bersama Pertapis seperti tazkirah, senaman dan agihan makanan juga akan berlangsung sepanjang acara, menambahkan nilai sosial pameran itu.
Dengan himpunan vendor terkemuka, tawaran menarik, persembahan artis dan kegiatan kemasyarakatan, pameran, Halal Expo & The Wedding Asia 2025, dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang tiga hari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg