Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran produk halal, fesyen Muslimah tawar pelbagai pilihan

Dec 3, 2025 | 5:04 PM
megaexpress international, halal international, singapore expo, trending
Pengalaman pada 2024 menjadi panduan utama untuk menambah baik pilihan yang ada di Halal International 2025 agar lebih tepat dan selari dengan trend berbelanja dalam kalangan pengguna. - Foto MEGAXPRESS INTERNATIONAL PTE LTD

Menjelang hujung 2025, Dewan 5A di Singapore Expo sekali lagi bakal menyambut kunjungan orang ramai dengan kembalinya acara tahunan hujung tahun yang sentiasa menarik perhatian keluarga, pencinta makanan dan penggemar gaya hidup.

Dari 5 hingga 7 Disember ini, Halal International 2025 anjuran MegaXpress International Pte Ltd akan sekali lagi mengubah dewan tersebut menjadi ruang niaga meriah yang dipenuhi makanan, fesyen, hiburan serta pelbagai program masyarakat.

Menyifatkannya sebagai pameran sehenti, Pengurus Komunikasi Media MegaXpress International Pte Ltd, Cik Reny Delfina Hamzah, berkata edisi 2025 ini mengambil pendekatan lebih terarah dengan memilih dan mengumpul vendor yang menawarkan produk dan perkhidmatan yang sudah pun mendapat permintaan tinggi.

Dengan para pengunjung kini lebih berhati-hati dalam berbelanja, beliau menegaskan bahawa ekspo perlu menampilkan barangan yang benar-benar diingini pengguna.

Lebih 200 gerai akan memenuhi ruang dewan, menyajikan hidangan makanan dari China, India, Timur Tengah, Jepun, Thailand, Indonesia, Malaysia dan Singapura, selain pelbagai pilihan jenama fesyen Muslimah, produk kecantikan dan kesihatan, aksesori, pendidikan Islam serta khidmat hartanah.

Mengingat kembali edisi 2024 yang menarik antara 20,000 hingga 30,000 pengunjung, Cik Reny berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa jumlah pengunjung dan pola perbelanjaan yang dicatat telah memainkan peranan penting dalam merangka pendekatan pada edisi kali ini.

“Kami belajar dari tahun lalu bahawa pola perbelanjaan — siapa yang berbelanja dan siapa yang tidak — banyak mempengaruhi cara kami memasarkan dan merangka acara ini supaya lebih tepat pengunjung.

Cik Reny turut memerhatikan bahawa kuasa beli yang lebih lemah menjadikan pengunjung lebih memilih.

“Salah satu caranya adalah mengetengahkan produk yang sedang sohor kini atau tular untuk merangsang kemampuan berbelanja,” jelasnya.

Sehubungan itu, Halal International 2025 akan menampilkan lebih ramai artis ternama dan vendor yang menawarkan produk serta perkhidmatan yang mempunyai permintaan tinggi.

“Bagi pameran 2025 ini, kami menggalakkan vendor untuk lebih menonjol dan konsisten dalam kehadiran mereka, sama ada dalam talian atau secara fizikal,” kata Cik Reny.

Dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang hujung minggu tersebut, pengunjung boleh menantikan kehadiran barisan selebriti Malaysia dan Singapura, antaranya Jasmine Ashraff, Fahrin Ahmad, Bella Astillah, Sabhi Saddi, Rita Rudaini, Dynas Mokhtar, Yasmin Hani, Noraniza Idris dan Chef Haikel.

Pentas di Dewan 5A juga akan dipenuhi pelbagai acara seperti Mega Xtreme Challenge (makan paling pantas, minum paling pantas dan cabaran makan pedas), demo memasak Dapur Berasap, Asia Model Hunt dan pertandingan karaoke lagu-lagu pop 70-an.

Pada edisi 2025 ini, Masjid Alkaff Upper Serangoon menjadi penerima manfaat, dengan penganjuran program kerohanian dan pendidikan termasuk majlis khatam Muslimah, forum harta pusaka, persembahan nasyid, demonstrasi ruqyah dan bacaan maulid.

“Masjid-masjid ini ialah penerima manfaat kami, dan ini salah satu cara kami memberi kembali kepada masyarakat,” kata Cik Reny.

Beliau menjelaskan bahawa tradisi ini telah lama menjadi sebahagian daripada identiti MegaXpress International Pte Ltd yang telah menganjurkan pameran sejak 1999 di World Trade Centre, dengan purata enam acara setahun.

Dalam tempoh 26 tahun itu, lebih 100 masjid dan pertubuhan telah terlibat — dengan beberapa masjid kembali menyertai berulang kali, mencerminkan hubungan dan kepercayaan yang telah terjalin.

Pengunjung juga boleh menantikan pelbagai tarikan lain seperti 250 set ‘Flower Tea & Biscuits’ percuma setiap hari serta hadiah cabutan bertuah bagi mereka yang berbelanja sekurang-kurangnya $10 — termasuk penginapan tiga hari dua malam di Pulau Redang dan peralatan rumah.

Pertandingan popular ‘Snap, Tag, Share Your Favourite Booth & Win’ yang menawarkan hamper bernilai $80 juga akan kembali.

Apabila ditanya mengenai laluan terbaik bagi pengunjung yang mempunyai masa terhad, Reny berkata kepelbagaian ekspo ini menjadikan mustahil untuk menentukan satu laluan ‘ideal’.

“Keperluan setiap pengunjung berbeza. Mereka mungkin bermula di satu gerai dan tamat di gerai lain bergantung kepada apa yang mereka cari.

“Jadi memang mustahil untuk menentukan satu laluan ‘ideal’,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Cik Reny berharap Halal International, yang telah dianjurkan sejak 2003, akan terus menjadi platform mesra dan mudah diakses oleh pengguna halal di Singapura.

Walaupun fokus Halal International kekal di peringkat tempatan buat masa ini, beliau memberi bayangan kemungkinan melaksanakan rancangan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Di peringkat serantau, kami mungkin mempunyai perancangan untuk memacu atau menggalakkan perniagaan dan perdagangan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg