Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forum bincang hubungan keluarga setelah anak kahwin

Anjur dua forum sambil kumpul dana bagi kerja peningkatan; ketahui kerjaya luar biasa bersihkan tempat jenayah, urus mayat reput
Nov 29, 2024 | 5:30 AM
Kumpulan ‘Bangladeshi Brothers’ daripada Masjid Alkaff Kampung Melayu  merupakan sukarelawan masjid dan bakal mengetengahkan bakat mereka pada 1 Disember di Singapore Expo.
Kumpulan ‘Bangladeshi Brothers’ daripada Masjid Alkaff Kampung Melayu merupakan sukarelawan masjid dan bakal mengetengahkan bakat mereka pada 1 Disember di Singapore Expo. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Forum ‘Anak Aku Dah Kahwin, What’s Next?’ adalah sebahagian daripada usaha Masjid Alkaff Kampung Melayu mengumpul dana untuk projek naik taraf masjid.

Ia akan diadakan pada 30 November, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Forum itu adalah antara acara yang dijadual berlangsung di ekspo ‘Halal International 2024’ di Singapore Expo, 29 November hingga 1 Disember 2024.

“Misi utama Masjid Alkaff Kampung Melayu di ekspo ini ialah mengumpul dana untuk projek naik taraf masjid yang akan memberi manfaat besar kepada masyarakat Islam setempat.

“Dalam usaha menggalak sokongan, kami juga ingin memberi kembali kepada masyarakat yang sentiasa menyokong kami,” jelas Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman.

Masjid itu akan menganjurkan dua forum.

Forum ‘Anak Aku Dah Kahwin, What’s Next?’ akan menyentuh perjalanan emosi ibu bapa apabila anak mereka melangkah ke alam perkahwinan.

Sesi itu membincangkan cara menghadapi pelbagai emosi pada waktu peralihan ini seperti rasa gembira kerana anak sudah berkahwin dan sedih melepaskan mereka menjalani hidup rumah tangga sendiri.

Ia juga akan menyentuh bagaimana menetapkan sempadan dan membina hubungan baru dalam keluarga dengan panduan serta nasihat yang ikhlas.

Anggota panel terdiri daripada Ketua Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu yang juga merupakan Naib Kadi, Ustaz Sheikh Umar, yang berkongsi perspektif sebagai naib kadi.

Seorang lagi anggota panel ialah Encik Suhaimi Yusof, selebriti tanah air yang juga merupakan seorang ayah, yang akan berkongsi pengalaman sebagai menantu dan bakal mentua pada masa akan datang.

Moderator sesi itu pula ialah pengacara podcast daripada Outsideinsg yang sering membincangkan tajuk dan isu mengenai perkahwinan.

Satu lagi forum berkaitan dengan kerjaya ‘luar biasa’ – tentang industri ‘selepas kematian’ akan diadakan pada 1 Disember, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kenali wira yang tidak didendang yang menjaga kebersihan dan landskap tanah perkuburan, membersihkan tempat kejadian jenayah, dan mempersiap jenazah dengan kepakaran mengawet.

“Kisah mereka mendedahkan ketabahan dan dedikasi dalam melaksanakan tugas penting yang sering tidak diberi perhatian,” kongsi Ustazah Nursakina.

Antara anggota panelnya ialah Ustaz Abdul Rahman, wakil daripada syarikat yang menawarkan khidmat pengebumian dan pembersihan trauma, R8 Services dan DDQ Services, dan ‘Sis Zai’ yang digelar sebagai ‘Doktor Mayat’.

Mereka akan membincangkan tentang kerjaya masing-masing dalam perkhidmatan ‘selepas kematian’. Kerjaya yang jarang diketahui yang melibatkan pembersihan tempat kejadian jenayah atau mayat yang reput, dan mengawet mayat.

“Kami mencipta platform untuk jemaah mempamerkan bakat mereka di atas pentas, termasuk saudara-saudara Bangladesh kami yang sering menjadi sukarelawan di masjid semasa hari cuti mereka.

“Mereka akan diberi ruang untuk mempersembahkan bakat mereka sebagai penghargaan atas jasa dan dedikasi mereka,” tambah Ustazah Nursakina tentang persembahan nasyid dan sketsa oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu ‘Bangladeshi Brothers’ pada 1 Disember, 5 petang hingga 6 petang.

Pihak masjid turut menawarkan hadiah istimewa iaitu pakej percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk tiga pemenang dalam cabutan bertuah.

Pengunjung hanya perlu berbelanja $25 di gerai masjid bagi merebut peluang itu.

“Saya berharap penghargaan kami kepada masyarakat terserlah sepanjang tiga hari acara ini berlangsung,” ujar Ustazah Nursakina.

Masjid Alkaff Kampung Melayu akan berada di reruai L29 di MegaXpress: HALAL International 2024, di Dewan 5A. Pihak masjid juga akan mengaadakan kaunter infak di kawasan pentas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg