Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parkway Life Reit peroleh 11 rumah jagaan di Perancis pada $159.9j

Pemerolehan itu merupakan pelaburan sulung Parkway Life Reit di Eropah
Oct 22, 2024 | 6:42 PM
Parkway Life Reit akan memperolehi 11 rumah penjagaan warga emas di Perancis dengan nilai sebanyak 111.2 juta euro ($159.9 juta).
Parkway Life Reit akan memperolehi 11 rumah penjagaan warga emas di Perancis dengan nilai sebanyak 111.2 juta euro ($159.9 juta). - Foto fail

Amanah Pelaburan Hartanah Parkway Life (Parkway Life Reit) akan memperolehi 11 rumah penjagaan warga emas di Perancis dengan nilai sebanyak 111.2 juta euro ($159.9 juta).

Pemerolehan itu menandakan pelaburan sulung Reit itu di Eropah, yang merupakan pasaran utama ketiga - selain Singapura dan Malaysia, serta Jepun - dengan “asas yang kukuh, populasi penuaan yang semakin meningkat dan sektor penjagaan warga emas”, kata pengurus itu pada 22 Oktober.

Harga pembelian sebanyak $159.9 juta itu mewakili anggaran 3.6 peratus diskaun daripada penilaian bebas hartanah itu pada kira-kira $165.8 juta, lapor The Business Times.

Reit yang tertumpu pada penjagaan kesihatan itu membeli hartanah tersebut daripada DomusVi, sebuah pengendali rumah jagaan di Perancis.

Hartanah tersebut akan terus disewakan kepada DomusVi, di bawah tempoh pajakan baru selama 12 tahun, selepas perjanjian itu selesai.

Urus niaga itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2024, dengan portfolio Parkway Life Reit selepas itu akan meningkat kepada 75 hartanah dengan jumlah nilai sekitar $2.42 bilion.

Pemerolehan itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi penjualan saham/bon kepada pelaburan dan institusi yang dipilih untuk mengumpulkan hasil kasar sekitar $180 juta, pada anggaran lingkungan harga yang ditawarkan antara $3.80 dengan $3.88 bagi setiap unit baru.

Sekitar 88.8 peratus, atau S$159.9 juta, daripada hasil itu akan digunakan untuk membiayai pemerolehan tersebut.

Baki $20.1 juta, atau sekitar 11.2 peratus, akan digunakan untuk menampung yuran dan perbelanjaan yang berkaitan dengan penempatan dan pembelian.

Jumlah 11 rumah penjagaan itu, yang terletak di seluruh Perancis, merangkumi 42,630.8 meter persegi keluasan lantai bersih boleh disewa dan 850 katil.

Pengurus Reit itu positif terhadap permintaan kukuh untuk rumah penjagaan di Perancis, yang menghadapi isu penduduk yang semakin tua.

Ia menyatakan bahawa kadar orang berusia 65 tahun ke atas telah meningkat daripada 17 peratus pada 2009 kepada 22 peratus pada 2023.

Oleh itu, ia percaya bahawa urus niaga itu akan membolehkan Reit merebut peluang daripada faktor penuaan semakin meningkat di Perancis.

Ia juga menjangkakan perjanjian itu akan membolehkan Reit bertapak dalam “sektor yang sangat dikawal selia dengan halangan kemasukan yang tinggi”, kerana tiada katil rumah jagaan baru dijangka dibenarkan sehingga 2028.

Pengurus Reit itu juga menekankan bahawa sokongan kuat pemerintah Perancis untuk sektor rumah penjagaan akan mengurangkan risiko operasi.

Sekitar 32 peratus daripada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) Perancis diperuntukkan kepada perbelanjaan keselamatan sosial, dan perbelanjaan untuk penjagaan warga emas seperti rumah penjagaan, menyumbang 44 peratus daripada jumlah perbelanjaan negara, kata pengurus itu.

Encik Yong Yean Chau, ketua pegawai eksekutif pengurus itu, berkata: “Melalui pemerolehan ini, Parkway Life Reit akan melanjutkan pertumbuhan (nya) ke pasaran baru dengan asas yang kukuh - penduduk yang semakin menua dengan sektor kesihatan matang dan penjagaan warga emas.”

Beliau menambah: “Ini akan membolehkan Parkway Life Reit mengoptimumkan pendedahan pelaburannya dan mempelbagaikan lagi risiko geografi dalam portfolionya, sekali gus meningkatkan pulangan yang risikonya disesuaikan untuk pemegang unitnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg