Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasar raya lancar tawaran promosi untuk pembelian dengan baucar CDC

FairPrice, Giant, Cold Storage antara beri baucar pulangan bernilai $6 untuk perbelanjaan $60 guna baucar CDC
May 13, 2025 | 6:35 PM
Baucar CDC, S’pura, pasar raya, PM Wong
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kiri), melancarkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bersama para Mayor – (dari kiri) Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; dan Mayor CDC Central, Cik Denise Phua – serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee (empat dari kiri), dan kakitangan pasar raya itu di Kelab Masyarakat Nee Soon South pada 13 Mei. - Foto ST

Pasar raya utama melancarkan tawaran promosi untuk pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), susulan pengagihan baucar bernilai $500 itu kepada setiap isi rumah pada 13 Mei.

FairPrice Group (FPG) akan memberi baucar pulangan bernilai $6 untuk setiap perbelanjaan berjumlah $60 yang dibuat dengan baucar CDC di mana-mana kedai FairPrice dari 13 hingga 19 Mei.

Tiada jumlah perbelanjaan minimum diperlukan untuk pelanggan menggunakan baucar pulangan $6 mereka. 

Pelanggan juga boleh menggunakan lebih daripada satu baucar pulangan dalam satu urus niaga. Baucar pulangan ini sah untuk digunakan sehari selepas tarikh ia dikeluarkan, sehingga 15 Jun.

Fasa ketujuh dan terkini baucar itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, di Kelab Masyarakat Nee Soon South pada 13 Mei.

Encik Wong sebelum ini mengumumkan dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari bahawa isi rumah di Singapura akan menerima baucar CDC tambahan sebanyak $800, yang diagihkan dalam dua peringkat – $500 pada Mei 2025 dan $300 pada Januari 2026.

Separuh daripada jumlah itu boleh digunakan di pasar raya, manakala separuh lagi boleh digunakan di gerai penjaja dan peniaga di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian.

Baucar CDC terkini ini sah digunakan hingga 31 Disember 2025, lapor The Straits Times (ST).

Ketua Eksekutif FPG, Encik Vipul Chawla, berkata:

“Rakyat Singapura telah menunjukkan semangat yang luar biasa dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang penuh dengan ketidaktentuan global, dan sebagai peruncit terbesar negara, kami ingin menghargai usaha harian mereka dalam menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

“Pemberian baucar pulangan FairPrice bagi kali ketiga ini adalah usaha kami untuk menjadikan kehidupan harian lebih baik untuk semua warga Singapura, dengan memastikan keperluan harian mereka kekal mampu milik.”

Pelanggan pasar raya Giant, Cold Storage, CS Fresh dan Jasons Deli akan menerima baucar pulangan bernilai $6 apabila mereka membelanjakan sekurang-kurangnya $60 menggunakan baucar CDC dalam satu resit, dari 13 hingga 19 Mei.

Baucar pulangan itu boleh ditebus sehari selepas tarikh ia dikeluarkan hingga 27 Mei, tanpa memerlukan sebarang perbelanjaan minimum.

Sheng Siong pula akan menawarkan diskaun khas sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih – termasuk telur dan beras – apabila pelanggan membelanjakan sekurang-kurangnya $50 dalam satu resit menggunakan baucar CDC dari 13 Mei hingga 11 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg