Semua isi rumah Singapura akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 mulai 13 Mei bagi membantu meringankan perbelanjaan harian mereka.
Separuh daripada jumlah itu – iaitu $250 – boleh digunakan di pasar raya, manakala separuh lagi boleh digunakan di gerai penjaja dan peniaga di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian.
Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan CDC dalam sebuah kenyataan bersama pada 15 April.
Baucar itu sah hingga 31 Disember 2025.
Fasa ketujuh dan terkini baucar itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Pembentangan Belanjawan 2025 pada Februari.
Baucar CDC tambahan bernilai $300 akan diberikan pada Januari 2026.
Baucar CDC mula diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Singapura atas perpaduan mereka, dan juga untuk menyokong perniagaan tempatan.
Pemberian itu diteruskan selepas pandemik bagi membantu rakyat Singapura menghadapi kesan kenaikan harga barang.
Fasa keenam baucar bernilai $300 diagihkan pada Januari 2025. Baucar tersebut juga sah hingga 31 Disember 2025.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 15 April, Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling, berkata lebih 1.28 juta isi rumah – atau sekitar 97 peratus daripada 1.33 juta isi rumah Singapura – telah menebus baucar yang dikeluarkan pada Januari.
Setakat ini, hampir $300 juta telah dibelanjakan – lebih $142 juta di gerai penjaja dan peniaga yang mengambil bahagian, dan lebih $157 juta di pasar raya, tambahnya.
MOF dan CDC menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menebus baucar tersebut.
“Sila ambil perhatian bahawa anda tidak akan diminta memberikan maklumat log masuk bank, membuat pemindahan wang atau memuat turun aplikasi daripada kedai aplikasi tidak rasmi untuk menebus baucar CDC,” ujar kenyataan bersama itu.
Pada Januari, polis berkata mereka menerima laporan daripada individu yang menerima mesej dengan pautan palsu laman web RedeemSG selepas pengagihan baucar CDC ketika itu.
Jika ragu-ragu, hubungi Talian Bantuan ScamShield di 1799.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg