Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Tangani ekonomi tidak menentu keutamaan pemerintah

Tumpuan kini untuk bentuk pasukan baru dan diperkukuh demi masa depan S’pura
May 9, 2025 | 9:53 PM
Dalam satu video yang dimuat naik pada 9 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata keutamaan bagi pemerintah baru adalah untuk menangani persekitaran ekonomi tidak menentu pada masa ini dan kesannya terhadap Singapura.
Dalam satu video yang dimuat naik pada 9 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata keutamaan bagi pemerintah baru adalah untuk menangani persekitaran ekonomi tidak menentu pada masa ini dan kesannya terhadap Singapura. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK LAWRENCE WONG

Menangani persekitaran ekonomi tidak menentu dan kesannya terhadap rakyat Singapura merupakan keutamaan bagi pemerintah baru, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong juga sedang memberi tumpuan untuk membentuk pasukan yang diperbaharui dan diperkukuh dalam pemerintah agar dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat dan menjamin masa depan Singapura dalam masa yang sukar.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 9 Mei, beliau menukil contoh tinjauan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang mendapati empat daripada lima perniagaan terkesan secara negatif dengan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.

Tiga daripada empat menjangkakan pendapatan akan berkurangan, manakala separuh daripada responden akan menangguh pengambilan pekerja baru dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata Encik Wong.

“Jelas, sektor perniagaan sangat prihatin. Pekerja dan pemimpin kesatuan juga resah, dan saya sedia maklum pelajar yang akan tamat persekolahan turut bimbang tentang kesukaran mendapatkan pekerjaan,” ujar beliau.

Ini sebabnya, jelas Encik Wong, Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura – yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong – telah bertemu secara aktif untuk membangunkan dan menyempurnakan pelan tindak balas.

Pasukan petugas itu juga dianggotai oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.

Di bawah Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura, sektor maritim, rantaian bekalan dan logistik serta sektor penerbangan merupakan sektor yang sedang disemak untuk pertumbuhan selanjutnya dan peluang bagi masa hadapan.

Menurutnya, pasukan itu akan menyediakan maklumat terkini apabila sudah bersedia nanti.

“Encik Gan juga meneruskan perbincangannya dengan rakan sejawatan Amerika bagi meneroka cara yang membina untuk meneruskan hubungan perdagangan Singapura dengan Amerika,” kata Encik Wong.

Pada April, Presiden Donald Trump mengumumkan tarif yang menjejas banyak ekonomi, termasuk 10 peratus ke atas Singapura.

Dalam video itu, Encik Wong menyatakan bahawa beliau kini memberi tumpuan kepada usaha membentuk pasukan yang diperbaharui dan lebih kukuh dalam pemerintah untuk menjamin masa depan negara.

“Keputusan pilihan raya jelas menunjukkan rakyat Singapura mahukan pasukan yang menggabungkan pengalaman dengan perspektif segar untuk membawa negara ini ke hadapan,” kata beliau.

Encik Wong berkata demikian enam hari selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) menjamin undian 65.57 peratus dan meraih 87 daripada 97 kerusi di Parlimen.

Sementara itu, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan inisiatif yang diumumkan semasa Belanjawan 2025 sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kesan segera terhadap pekerjaan dan harga.

Ini termasuk baucar CDC dan SG60, rebat cukai korporat dan skim Sokongan Pencari Kerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg