Bilangan pemberhentian pekerja meningkat pada suku kedua 2026, namun pasaran tenaga kerja Singapura terus berkembang, menurut data awal pasaran buruh yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 31 Julai.

Sebanyak 4,500 pemberhentian pekerja direkodkan bagi tempoh April hingga Jun, meningkat berbanding 3,830 dalam tempoh Januari hingga Mac. Ini merupakan angka tertinggi sejak suku terakhir 2020. 

Namun, MOM menyatakan bahawa angka suku kedua ini kekal lebih rendah berbanding bilangan yang dilaporkan semasa pandemik Covid-19, yang berada dalam julat 5,640 hingga 9,120.

Peningkatan 17.5 peratus itu sebahagian besarnya tertumpu dalam beberapa sektor luaran – seperti maklumat dan komunikasi serta perkilangan – yang terutamanya didorong oleh penstrukturan semula perniagaan, menurut MOM.

Jumlah keseluruhan pekerjaan di Republik ini – yang merangkumi penduduk Singapura dan pekerja asing yang mempunyai pekerjaan – meningkat sebanyak 10,700 pada suku kedua 2026, berbanding 9,400 pada suku sebelumnya.

Jumlah ini tidak jauh berbeza berbanding angka 10,400 yang dicatatkan pada suku kedua 2025.

Bilangan warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang mempunyai pekerjaan berkembang pada kadar lebih perlahan berbanding suku sebelumnya, dengan pertumbuhan tertumpu dalam perkhidmatan penting dan awam.

Sementara itu, pertumbuhan pekerjaan secara keseluruhan pada suku kedua 2026 sebahagian besarnya didorong oleh pekerjaan asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan.

Kadar pengangguran pada Jun 2026 kekal stabil pada 2 peratus, sama dengan suku sebelumnya.

Melangkah ke hadapan, kadar syarikat yang menjangkakan pengambilan pekerja bagi tiga bulan akan datang meningkat kepada 43.9 peratus pada Jun 2026, berbanding 40.6 peratus pada Mei 2026.

Bagi tempoh sama, kadar syarikat yang menjangka menaikkan gaji turut meningkat kepada 29.3 peratus, berbanding 23.7 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam pada itu, kadar syarikat yang menjangka memberhentikan pekerja menurun kepada 2.7 peratus, berbanding 3.2 peratus.

“Secara keseluruhan, peningkatan dalam jangkaan pengambilan pekerja, gaji dan pemberhentian pekerja menunjukkan permintaan tenaga kerja yang kekal berdaya tahan,” kata MOM.