Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Bilangan pekerja diberhenti naik sedikit pada suku ketiga 2025

Kadar pengangguran kekal rendah; 1.6 pekerja diberhenti bagi setiap 1,000 kakitangan
Dec 11, 2025 | 5:04 PM
MOM, pekerja diberhenti, kadar pengangguran 
Sekitar 3,670 pekerja diberhentikan kerja pada suku ketiga 2025 – naik berbanding 3,540 pada suku kedua dan 3,590 pada suku pertama, menurut laporan pasaran pekerja suku ketiga oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM). - Foto ZAOBAO

Bilangan pekerja yang diberhentikan kerja di Singapura naik sedikit pada suku ketiga 2025 selepas kadar tersebut turun pada dua suku sebelum ini, manakala kadar pengangguran pula kekal rendah.

Statistik dalam laporan pekerja suku ketiga yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 11 Disember menunjukkan sekitar 3,670 pekerja diberhentikan kerja – naik berbanding 3,540 pada suku kedua dan 3,590 pada suku pertama.

Daripada jumlah itu, seramai 2,720 pekerja atau 74.2 peratus yang diberhentikan merupakan penduduk yang terdiri daripada rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR).

Bahkan, peratusan syarikat yang merancang memberhentikan pekerja turut meningkat, daripada 1.9 peratus pada Jun kepada 2.3 peratus pada September.

Sebahagian besar pemberhentian kerja terus berlaku dalam sektor pertumbuhan seperti khidmat kewangan, khidmat profesional dan infokom, sedang syarikat menjalani penyusunan semula untuk kekal berdaya saing di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi sejagat.

Sekitar 61 peratus syarikat menyatakan penyusunan semula sebagai sebab utama pemberhentian kerja, manakala 7.4 peratus menyatakan kemelesetan dalam industri.

Sementara itu, 6.7 peratus syarikat menyatakan perniagaan lemah atau kegagalan perniagaan sebagai sebab pemberhentian kerja, manakala 5.4 peratus pula menyatakan kebimbangan mengenai kos tinggi.

Meskipun bilangan pekerja yang hilang pekerjaan naik sedikit, kejadian pemberhentian kerja kekal rendah, dengan terdapat 1.6 pekerja yang diberhentikan bagi setiap 1,000 kakitangan.

Bilangan pekerja yang diletakkan dalam aturan kerja dengan masa kerja lebih pendek setiap minggu atau pemberhentian kerja sementara turut meningkat – daripada 620 pada suku kedua kepada 800 pada suku ketiga.

Ini “sedang syarikat mengurangkan waktu bekerja dan bilangan pengambilan pekerja, dan bukannya memberhentikan pekerja”, menurut laporan MOM.

Laporan itu menambah bahawa kadar kemasukan semula pekerjaan dalam tempoh enam bulan – iaitu berapa cepat individu mendapat pekerjaan dalam enam bulan selepas diberhentikan kerja – dalam kalangan penduduk turun sedikit daripada 56.3 peratus pada suku kedua kepada 55.4 peratus pada suku ketiga.

“Pekerja yang diberhentikan mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan baru, namun kebanyakannya memasuki semula pekerjaan dengan tempoh masa lebih lama.

“Dalam suku ketiga 2025, kadar kemasukan semula adalah lebih tinggi pada 74.2 peratus bagi mereka yang diberhentikan 12 bulan lalu, satu kenaikan daripada kadar kemasukan semula dalam 12 bulan (71.2 peratus) yang dilihat pada suku kedua 2025,” kata MOM.

Sementara itu, kadar pengangguran keseluruhan adalah 2 peratus pada September; 2.8 peratus bagi penduduk; dan 3.1 peratus bagi rakyat – serupa dengan Jun.

Kadar pengangguran jangka panjang penduduk terus kekal mantap sepanjang suku tersebut pada 0.9 peratus pada September, yang menunjukkan kestabilan berterusan dalam prospek pekerjaan, tambah laporan itu.

Dalam pada itu, bilangan orang yang bekerja mencatatkan pertumbuhan seramai 25,100 – terdiri daripada 5,600 penduduk dan 19,500 bukan penduduk – pada suku ketiga, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 10,400 pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan dalam bilangan pekerja penduduk diterajui sektor khidmat kewangan dan insurans, serta khidmat kesihatan dan sosial.

Bagi pekerja bukan penduduk pula, pertumbuhan sebahagian besarnya dilihat dalam sektor binaan dan perkilangan.

Meskipun pemerintah telah menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2025 kepada 4 peratus – berbanding ramalan 1.5 hingga 2.5 peratus pada Ogos – selepas prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan, MOM berkata ketidakpastian ekonomi kekal tinggi walaupun ia telah surut sejak separuh pertama 2025.

“Memandang ke hadapan, jangkaan perniagaan menunjukkan syarikat lebih berhati-hati dalam mengambil pekerja atau menaikkan gaji dalam tiga bulan mendatang.

“Pada masa yang sama, peratusan firma yang merancang pemberhentian pekerja telah meningkat daripada 1.9 peratus pada Jun 2025 kepada 2.3 peratus pada September 2025.

“Firma berorientasikan luaran terus menunjukkan sentimen pengambilan pekerja yang lebih kukuh, walaupun mereka kurang berkemungkinan untuk menaikkan gaji berbanding firma berorientasikan domestik,” kata kementerian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg