Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) menegaskan penyusunan semula yang dilaksanakan bukan sebahagian daripada langkah penyusunan semula berskala besar merentasi seluruh Perkhidmatan Awam.

Menjelaskan demikian dalam satu kenyataan pada 17 Julai bagi menjawab pertanyaan media, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) berkata penyusunan semula yang menyaksikan GovTech memberhentikan 93 pekerja, dibuat berdasarkan keperluan operasinya sendiri sedang agensi itu menyesuaikan diri dengan perubahan lebih meluas dalam sektor teknologi.

Ini termasuk mengambil kira kemajuan pesat dalam teknologi serta perubahan dalam cara produk digital dibangunkan dan disampaikan.

GovTech mengumumkan penyusunan semula yang dijalankan pada 15 Julai.

Ketika itu, agensi tersebut berkata antara 7 dengan 9 peratus daripada kira-kira 3,900 jawatan dalam tenaga kerjanya dijangka terjejas oleh proses penyusunan semula dalam tempoh dua tahun akan datang.

PSD menjelaskan dalam sektor perkhidmatan awam, penyusunan semula yang lebih besar hanya akan dilaksanakan apabila benar-benar diperlukan.

Ia lazimnya dibuat sebagai tindak balas terhadap perubahan asas dalam persekitaran operasi sesebuah agensi, misinya atau model operasinya, tambah divisyen ini, yang menyelia Perkhidmatan Awam.

Menurut PSD lagi, agensi Perkhidmatan Awam sentiasa menilai semula struktur sesebuah organisasi, fungsi, model operasi serta keperluan tenaga kerja masing-masing bagi memenuhi keperluan dan keutamaan yang sentiasa berubah.

Kebanyakan perubahan tenaga kerja pula dilaksanakan secara berperingkat menerusi usaha meningkatkan kemahiran pekerja, mereka bentuk semula pekerjaan, penempatan semula kakitangan serta penyusutan tenaga kerja secara semula jadi.

PSD turut mendedahkan sebilangan kecil pegawai yang terjejas akibat penyusunan semula GovTech telah ditawarkan skim peletakan jawatan bagi Perkhidmatan Awam.

Bagaimanapun, PSD tidak menyatakan jumlah pegawai yang menerima tawaran itu atau mengulas sama ada 93 pekerja yang diberhentikan termasuk dalam kumpulan tersebut.

“Bagi melaksanakannya dengan berkesan, pihak agensi perlu terus berubah dan memastikan tenaga kerja Perkhidmatan Awam kekal berkesan, tangkas serta bersedia menghadapi masa depan, sambil terus menyokong pegawai awam melalui proses perubahan,” tambah PSD.

Sementara itu, dalam notanya kepada 3,900 kakitangannya pada 15 Julai, Pengerusi GovTech, Encik Chng Kai Fong, menjelaskan penyusunan semula ini bertujuan mengubah peranan agensi tersebut daripada sekadar menguruskan projek yang dikendalikan vendor kepada mengoperasikan sendiri produk tersebut.