Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asean sepakat tidak akan bertindak balas terhadap tarif timbal balas AS

Hasrat adakan dialog terbuka, membina dengan AS
Apr 10, 2025 | 3:38 PM
Foto fail
Foto fail - Foto fail

KUALA LUMPUR: Asean tidak akan bertindak balas terhadap tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada semua negara di rantau itu.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri Ekonomi Asean (AEM) pada 10 April, ia berkata berdasarkan kepada perkembangan ini, mereka menyatakan hasrat bersama untuk mengadakan dialog yang terbuka dan membina dengan Amerika bagi menangani kebimbangan berkaitan perdagangan.

“Komunikasi terbuka dan kerjasama akan menjadi kunci kepada usaha mengekalkan hubungan yang seimbang dan mampan.

“Dalam semangat ini, Asean komited untuk tidak mengenakan sebarang tindakan balas terhadap tarif yang dikenakan oleh Amerika,” katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, AEM menegaskan hubungan kerjasama yang kukuh dan berterusan antara Asean dengan Amerika.

Katanya, sebagai Rakan Strategik Komprehensif (CSP) Asean, Amerika memainkan peranan penting selama lebih empat dekad dalam membina pembangunan serantau berteraskan Asean yang mempromosikan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan di rantau ini, memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Pada 2024, Asean adalah rakan dagang kelima terbesar bagi Amerika.

“Asean, selaku ekonomi kelima terbesar di dunia, amat prihatin terhadap pengenalan tarif sehala oleh Asean baru-baru ini, termasuk tarif yang diumumkan pada 2 April 2025 dan penggantungan terkini semalam (9 April).

“Langkah ini menimbulkan ketidaktentuan dan bakal membawa cabaran besar kepada dunia perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta terhadap dinamik perdagangan global.

“Tindakan luar biasa pelaksanaan tarif oleh Amerika ini akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta global, termasuk rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna di seluruh dunia, termasuk di Amerika sendiri,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Kenyataan bersama itu menegaskan Asean menganggap Amerika sebagai rakan ekonomi Asean yang lama terjalin dan sangat dihargai, selain kekal komited untuk melindungi kepentingan ekonomi serta mengekalkan hubungan dagangan yang kukuh dan saling menguntungkan dengan Amerika.

“Ini khususnya, kami mengulangi kesediaan untuk bekerjasama dengan Amerika di bawah Perjanjian Rangka kerja Dagangan dan Pelaburan (Tifa) Asean-Amerika dan Pelan Kerja Penglibatan Ekonomi Diperluas (E3), bagi meneroka penyelesaian yang boleh diterima dalam isu-isu berkepentingan bersama.

“Ini termasuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala, memperdalam kerjasama perdagangan strategik, serta meningkatkan keterhubungan dan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi yang mampu mengukuhkan kerjasama serantau.

“Asean percaya bahawa rangka kerja kerjasama ekonomi Asean-Amerika yang dipertingkat, kukuh dan berwawasan akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat kita dan ekonomi global secara lebih luas,” tambah kenyataan itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mempengerusikan Mesyuarat Khas AEM pada 10 April itu.

“Langkah ini menimbulkan ketidaktentuan dan bakal membawa cabaran besar kepada dunia perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta terhadap dinamik perdagangan global. Tindakan luar biasa pelaksanaan tarif oleh Amerika ini akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta global, termasuk rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna di seluruh dunia, termasuk di Amerika sendiri.”
Kenyataan bersama oleh Menteri Ekonomi Asean (AEM).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg