Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taikun hartanah S’pura rancang buka pejabat keluarga di Abu Dhabi

Dec 10, 2024 | 4:13 PM
Encik Kishin R.K. adalah salah seorang jutawan termuda Singapura dan merupakan anak kepada hartawan, Encik Raj Kumar, yang mengendalikan Royal Holdings.
Encik Kishin R.K. adalah salah seorang jutawan termuda Singapura dan merupakan anak kepada hartawan, Encik Raj Kumar, yang mengendalikan Royal Holdings. - Foto fail

Encik Raj Kumar dan Encik Kishin R.K., pasangan bapa dan anak di sebalik salah satu portfolio hartanah terbesar di Singapura, sedang menubuhkan pejabat keluarga di Abu Dhabi.

Mereka menyertai senarai panjang golongan kaya yang mengukuhkan status Timur Tengah sebagai tempat perlindungan bagi golongan yang amat kaya raya.

Pejabat tersebut, RB Family Office, akan berpusat di Abu Dhabi Global Market, sebuah zon bebas di Pulau Al Maryah di ibu negara Amiriah Arab Bersatu (UAE), kata Encik Kishin.

“Kami memilih Abu Dhabi kerana kedudukannya yang strategik dan rangka kerja undang-undang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata Encik Kishin. 

RB Family Office akan menjadi yang pertama untuk keluarga itu, yang mempunyai anggaran kekayaan bersih sekitar AS$3.15 bilion ($4.22 bilion).

Encik Kishin tidak mendedahkan jumlah dana yang akan diuruskan.

Beliau berkata pejabat itu akan memberi tumpuan terutamanya kepada pelaburan hartanah dalam sektor runcit, komersial dan hospitaliti.

Encik Kishin mengendalikan RB Capital, kumpulan hartanah swasta, yang bersama dengan Royal Holdings milik bapanya, menguruskan portfolio hartanah bernilai AS$10 bilion. 

Ia merangkumi menara pejabat, pusat beli-belah dan hotel di serata Singapura.

Aset utama termasuk The InterContinental Singapore, Robertson Quay dan Cuppage Terrace di Orchard Road, sebuah kawasan makan dan ruang kerja.

RB Family Office akan menjadi “lanjutan portfolio kami di Singapura”, kata Encik Kishin.

Beliau menambah bahawa mereka komited untuk terus mengembangkan portfolio di sini.

Abu Dhabi kini menjadi hab utama bagi golongan kaya dunia, dengan barisan nama seperti Encik Ray Dalio, Encik Leon Black, Encik Nassef Sawiris, Encik Vladimir Lisin, dan keluarga Adani membuka pejabat keluarga di sana.

Abu Dhabi menarik minat ramai golongan kaya kerana akses mudah ke dana Timur Tengah dan kekurangan birokrasi.

Pejabat keluarga di Abu Dhabi boleh dimiliki oleh seorang anggota keluarga sahaja (berbanding sekurang-kurangnya dua di Dubai), dengan yuran pendaftaran serendah AS$500. 

Sebagai perbandingan, Singapura memerlukan pelaburan minimum dan pendedahan lebih besar ketika ia meningkatkan pemeriksaan pejabat keluarga berikutan skandal pengubahan wang haram yang besar.

Langkah Encik Kumar dan Encik Kishin menunjukkan “keyakinan sejagat yang semakin meningkat terhadap kedudukan Abu Dhabi sebagai pusat kewangan utama”, kata Encik Arvind Ramamurthy, pegawai utama pembangunan pasaran di Abu Dhabi Global Market. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg