Pejabat keluarga di Singapura dan Asia Pasifik (Apac) sedang meneroka peluang meningkatkan pegangan hartanah mereka walaupun terdapat ketidaktentuan makroekonomi, menurut laporan syarikat penasihat hartanah, Knight Frank.
“Terdapat minat yang besar dan berterusan dalam pelaburan hartanah daripada modal privet, dengan 44 peratus pejabat keluarga global menunjukkan mereka sedang merancang untuk meningkatkan peruntukan kepada sektor itu,” kata laporan itu.
Laporan itu meninjau 150 pejabat keluarga, dengan 51 peratus beribu pejabat di Apac, serta rantau lain seperti Eropah dan Amerika.
Menurut The Business Times, terdapat “perwakilan kuat” dari Singapura, Hong Kong, London, New York dan bandar-bandar utama lain, kata laporan itu.
Selera pelaburan hartanah semakin meningkat dalam kalangan pejabat keluarga kerana sektor itu menawarkan pertumbuhan dan pemeliharaan kekayaan, kata laporan itu.
Dalam tempoh 18 bulan lalu sahaja, 28 peratus pejabat keluarga menambah peruntukan hartanah mereka, manakala hanya 17 peratus mengurangkan peruntukan mereka, menurut laporan itu.
Kira-kira 44 peratus sedang merancang untuk mengembangkan pendedahan hartanah dalam tempoh 18 bulan akan datang walaupun terdapat kebimbangan makroekonomi, dan hanya 10 peratus berhasrat untuk mengurangkan pendedahan mereka.
Pada 2024 di Singapura, pejabat keluarga membuat pemerolehan berharga tinggi yang secara tradisinya diburu syarikat institusi dan pemaju, kata Encik Galven Tan, ketua pegawai eksekutif Knight Frank Singapore.
“Keluarga kaya telah mengejar hartanah di Singapura, untuk beberapa tujuan, daripada keuntungan modal, penjanaan pendapatan berulang, hingga kepada penambahan nilai dan pemeliharaan modal,” katanya.
Beliau menekankan bahawa bilangan pejabat keluarga tunggal di Singapura semakin meningkat, daripada 400 kepada 2,000 dalam tempoh antara 2020 dengan 2024.
Dari segi motivasi, pertumbuhan dan peningkatan modal adalah objektif utama untuk melabur dalam hartanah, dengan 42.1 peratus pejabat keluarga menyebut hal ini sebagai motif pilihan mereka. Ini diikuti oleh pemeliharaan kekayaan (22.5 peratus) dan penjanaan pendapatan (18.5 peratus).
Dari segi peruntukan semasa, ruang pejabat muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan sektor hartanah, diikuti oleh sektor mewah dan kediaman, perusahaan dan hotel.
Cik Christine Li, ketua penyelidikan bagi Apac di Knight Frank, berkata: “Di Asia... pejabat keluarga semakin mempelbagaikan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan hartanah berkaitan sektor sewa kediaman institusi (living sector). Ini menunjukkan peralihan ke arah pelaburan dengan risiko dan ganjaran lebih tinggi.”
Antara sektor yang mendapat permintaan, sektor sewa institusi mendahului kumpulan itu. Ia diikuti oleh sektor perusahaan dan logistik, sektor kediaman mewah dan kediaman berjenama, hotel, penjagaan kesihatan dan pusat data.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg